Sunday 28 June 2015

Penstrukturan Semula Ekonomi ISLAM

Perlunya De-konstruktif Struktur Ekonomi Negara Untuk Penstrukturan Semula Ekonomi ISLAM.

Oleh : Ahmad Hakimi bin Othman

Melihat kepada perkembangan Bajet 2015 yang dibentang pada tahun ini, yang menjadi rutin tahunan bagi Parlimen Malaysia setiap tahun. Saya melihat perlu kepada pejuang pejuang ISLAM di Malaysia untuk sama sama kita bergerak mencari penyelesaian sempurna dan mendasar bumi bagi memberi penyelesaian kepada masalah ekonomi dan Sosial negara kita. Retorik kerajaaan saban tahun dalam pembentangan bajet nasional perlu dihentikan dan digantikan dengan tindakan yang tepat yang dapat menyelesaikan masalah rakyat dan mematuhi syariat ALLAH dalam mengurus negara. Untuk mencari Penyelesaian kepada kerangka ekonomi dan sosial yang ada, kita perlu melihat satu persatu struktur yang ada untuk ditimbal balik dengan solusi ekonomi sosial yang lebih membumi iaitu penyelesaian yang didatangkan oleh ALLAH untuk Manusia..

 

Umum mengetahui, kerangka ekonomi dunia ketika ini, hanya berkembang di sekitar polisi ekonomi liberal kapitalisme dan sosialisme yang berdasarkan thesis thesis dari barat. Umat Islam dan negara ISLAM masih lagi terjajah dan terperangkap dalam lingkungan dua sistem ini. Pelaksanaan ISLAM yang ada hanya tertumpu kepada sub sistem -subsistem yang tertentu seperti Perbankan ISLAM, Transaksi ISLAM tanpa melibatkan proses proses yang melibatkan kerangka makroekonomi yang ada. Hasilnya, Sistem ISLAM yang dilaksanakan masih dikawal sistem liberal yang ada dan tidak bebas sepenuhnya untuk berdiri dengan sendiri. Kerangka sosio-ekonomi Malaysia sejak dari awal mengikut kerangka penjajah yang menanam budaya kapitalisme. Penggerak gerakan ISLAM di Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada tindakan reaktif semata mata, sudah sampai masanya kita memecah dominasi sekuler kepada ISLAM sepenuhnya.

 

Melihat dari sirah dan sejarah Negara Umat ISLAM yang dibangunkan Nabi Saw. Nabi telah melestarikan pembangunan akidah bersama dengan muamalat yang sesuai dengan zaman baginda. Langkah pertama ketika Membina Madinah, baginda menjadikan Masjid Nabawi sebagai Dasar Utama membangunkan jiwa jiwa manusia yang istiqamah mentauhidkan ALLAH. Rutin Harian berjemaah di Masjid dan bersama kepimpinan Nabi SAW melahirkan generasi alquran yang memahami bahawa segala aktiviti di Dunia mesti mengutamakan taabudi kepada ALLAH. Selepas mendirikan Masjid, Nabi meletak tapak baru ekonomi Umat ISLAM dengan menyediakan pula Pasar Khas untuk Umat ISLAM supaya mereka bebas dari bercampur dengan peniaga peniaga tidak berakhlak di pasar pasar Yahudi sekitar Madinah. Di Pasar terbuka Umat ISLAM inilah, sistem ISLAM bebas berdiri tanpa terikat dengan amalan amalan tradisi yahudi dan Quraisy yang menyeleweng dalam perniagaan. Muamalat ekonomi umat ISLAM diasaskan berdasar syahadah kepada ALLAH dan Rasulnya lantas menjadi daya tarikan utama kemajuan ekonomi yang berdasarkan amalan menurut wahyu. Persaingan perniagaan tertegak atas kejujuran, keimanan dan daya tarik yang diinovasi oleh mereka mereka yang jujur dan beriman kepada ALLAH dan Rasul.

 

Jelas daripada sejarah ringkas ini, kita boleh membuat satu kesimpulan bahawa Nabi Muhammad SAW dan para sahabat memahami benar bagaimana cara sebenar dan sesuai untuk keluar dari sistem ekonomi yang rosak. Wajah sistem yang rosak ketika itu diwakili oleh pasar pasar yang dikuasai Kabilah Yahudi seperti pasar bani Qainuqa'. Maka, untuk keluar dari terperangkap dalam sistem lama, Nabi Saw membina satu pasar lain yang langsung bebas dari pengaruh pengaruh buruk yahudi dan arab lama. Keadaan ini boleh kita qiaskan dengan keadaan semasa di zaman kotemporari ini. Dalam sekeliling yang penuh dikuasai oleh kapitalis kapitalis liberal dalam ekonomi, kita perlu cari jalan untuk menyediakan medan yang mana Umat ISLAM tidak perlu bercampur dengan mereka yang rosak ini. Umat ISLAM perlu disediakan ruang bebas untuk berekonomi sepenuhnya dengan cara ISLAM. Kalau di zaman Nabi di Madinah, kesemua ini boleh dilakukan dengan menguasai bahan mentah dan asas serta pengeluaran. Yang mana ketika itu, Hasil kurma dan anggur menjadi produk utama madinah. Manakala haiwan ternakan, pakaian dan lain lain dibawa dari kawasan pedalaman ataupun didatangkan dari Syam di sebelah utara atau Yaman di sebelah selatan. Variasi variasi ini membolehkan Umat ISLAM bertukar barang dagangan dalam Pasar yang dikawal Umat ISLAM.

 

Perkara asas yang dibuat oleh Nabi Muhammad Saw ialah memahami masalah dasar. Maka dengan sebab itu, untuk memahami masalah dasar dalam zaman kita, kita perlu meleraikan struktur yang ada yang dibina liberal kapitalis kepada sub sub sistem ada. Selepas itu, baru kita boleh dapat menyusun bagaimana langkah seterusnya untuk menstrukturkan semula ekonomi ISLAM untuk ditempatkan secara bebas tanpa pengaruh ideologi dan sistem asing yang sesat dan rosak. Memahami dasar bukan sesuatu yang payah kerana kita ada panduan wahyu dari ALLAH dan Rasul. ISLAM kaya dengan sumber ilmu dan ilham ilham ilmu yang dapat memberi penyelesaian kepada manusia beriman yang sunggub sungguh mahu mendapat redha ALLAH dalam muamalat ekonomi dunia ini. Yang mungkin merumitkan keadaan dalam usaha kita ini ialah tentangan tentangan Kapitalis yang akan terancam dengan perancangan kita ini. Mereka akan cuba mendominasikan ekonomi Umat ISLAM melalui polisi polisi kerajaan dan sekuler yang akan menyekat perkembangan kita. Oleh itu, perlu pula di kalangan umat ISLAM membina jaringan Komuniti yang akan berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu melayan ancaman ancaman dari luar yang didominasi oleh Liberal Kapitalis.

 

Daripada pembentukan komuniti yang mengamalkan budaya ISLAM inilah, akan lahir pula sub sistem daulah ISLAM yang memberi contoh penyelesaian sebenar kepada dunia bahawa ISLAM akan memimpin perubahan kepada rahmat sekalian Alam. Sudah pasti, di peringkat ini, Politik ISLAM perlu memainkan peranan agar aktivit komuniti ISLAM yang dirancang tidak digugat dan juga mempunyai mekanisma yang dapat bertahan dari serangan dan ancaman luar. Dalam sejarah Moden, kita dapat melihat kejayaan sekejap atau teladan ini pernah dimainkan oleh jaringan Sarekat dagang ISLAM yang dibangunkan Oleh HOS Choakrominoto. Sarekat Dagang ISLAM dapat memecah monopoli Pedagang Cina di Indonesia dan Nusantara dalam perniagaan batik dan sumber bumi. Melalui jaringannya pula, mereka dapat menngoptimiskan kemahiran Orang Bugis membuat perahu dan Kapal untuk meluaskan jaringan ke seluruh Nusantara. Kesannya, kita dapat melihat industri Batik Di Terengganu berkembang sejajar dengan industri Batik di Kepulauan jawa. Pertukangan perahu dan Kapal yang bermula di Kepulauan Sulawesi dan Maluku, turut juga dibangunkan di Pulau Duyung sebagai industri sokongan kepada perkembangan ekonomi yang diaspirasikan oleh Sarekat Dagang ISLAM.

 

Namun semua yang diterangkan ini lebih bersifat mikroekonomi yang melibatkan individu individu ISLAM. Kita masih lagi perlu mengembangkan aspek makro ekonomi ISLAM yang meliputi pengurusan perbendaharaan Negeri yang melibatkan pembalakan, perladangan, perikanan , perlombongan dan Sistem Kewangan yang akan menjadi struktur sokongan kepada Pengurusan Ekonomi Negara. Dengan adanya kefahaman dan pengurusan teknikal makro ekonomi ISLAM ini, kita akan mampu untuk menangani pula sistem Pengurusan Fiskal yang di asaskan oleh ekonomi barat dan Sekuler. Isu Pengurusan Fiskal ini , begitu terikat dengan sistem cukai dari barat. Sekiranya Umat ISLAM mahu ekonomi ISLAM digantikan sepenuhnya pada sudut makro Ekonomi, Pentadbir pentadbir ISLAM mesti membebaskan Urusan Fiskal untuk digantikan dengan pengurusan Sumber Negara secara berpusat. 

Maka di sinilah kita boleh melihat bagaimana Khalifah Saidina Umar Al Khattab menguruskan sumber sumber ghanimah, Tanah rampasan dan lain lain untuk disesuaikan dengan pengurusan Empayar ISLAM yang semakin berkembang. Hasil Pengurusan perbendaharaan inilah, akhirnya, Kerajaan ISLAM zaman itu mampu menggaji tentera dan pegawai secara tetap. Tambahan pula, sekiranya aktiviti mikroekonomi umat ISLAM turut berkembang seiring dengan Makro Ekonomi ISLAM, Negara ISLAM mampu menyediakan sistem baitul Mal yang akan menguruskan pula perbezaan sosio ekonomi yang berlaku dalam masyarakat. Maka, di sinilah kita yakin sepenuhnya kenapa sistem ISLAM tidak boleh dilaksanakan secara terpilih atau secara satu satu. ISLAM mesti diambil secara keseluruhan, barulah ia akan menampak sifatnya sebagai rahmat seluruh alam.

 

Dalam negara kita Malaysia ini, Ada beberapa perkara yang boleh kita lihat dan rancang semula untuk mengikut neraca ISLAM. Perkembangan ini perlu dibina bersungguh sungguh supaya subsistem subsistem ISLAM ini mampu dibangunkan keseluruhannya sama ada secara serentak ataupun berperingkat peringkat. Peranan ISTANA, majlis Agama dan Perbendaharaan negeri mesti dirancang dan diselarikan mengikut citra citra yang disarankan oleh ISLAM. Semoga artikel ringkas ini mampu membuka langkah ke arah kita merancang semula kerangka ekonomi ISLAM supaya ia dapat menjadi unsur penting dalam membangunkan Daulah ISLAM yang kita cita citakan.

Disunting oleh:
Kelab Media Baru
Lajnah Penerangan dan Penerbitan
PMMS

No comments:

Post a Comment