Friday 26 June 2015

Memahami Kewajiban Rukun Islam : Berpuasa Di Bulan Ramadhan

Jelajah Ibadah Puasa:
Memahami Kewajiban Rukun Islam (1)

Oleh: Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Ibadah puasa adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima. Justeru kedudukannya di sisi Islam adalah amat tinggi.

Ia difahami dengan jelas dan baik oleh seluruh umat Islam sedari dulu sehinggalah kini apabila kedatangan bulan Ramadhan disambut dengan penuh kemeriahan dan kerinduan oleh mereka.

Sepanjang hari pada bulan ini, ibadah puasa dilaksanakan. Mereka diwajibkan meninggalkan makan dan minum bermula terbit fajar subuh sehinggalah matahari terbenam. Mereka juga wajib meninggalkan jimak dengan isteri pada siang hari selain menyempurnakan ibadah itu dengan meninggalkan segala perbuatan buruk yang lahir dari lidah dan anggota tubuh mereka.

Pada sebelah malam pula, mereka digalakkan menghidupkannya dengan ibadah kepada Allah. Solat tarawih dan tilawah al Quran adalah antara ibadah besar yang dianjurkan oleh baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Lailatul Qadr adalah kemuncak ganjaran yang dijanjikan oleh Allah. Siapa saja yang berjaya menghidupkan malam Lailatul Qadr, sesungguhnya dia telah memperolehi segala kebaikan dan rahmat daripada Allah.

Sepanjang bulan Ramadhan, kehidupan dunia Islam berubah dengan seluruh umat Islam bersedia untuk menjalani proses kehidupan dan pendidikan rohani yang mencetuskan semangat luar biasa dalam diri mereka untuk berubah menjadi hamba Allah yang taat dan menjadi insan yang berguna di dunia. Suasana kasih sayang, bantu membantu dan meraikan golongan miskin begitu terserlah pada bulan yang mulia ini.

Begitulah gambaran ringkas perlaksanaan ibadah puasa yang merupakan salah satu rukun Islam yang lima ini. Ia diingati oleh seluruh umat Islam, bahkan oleh masyarakat non muslim juga yang hidup bersama umat Islam.

Bagaimanakah kita sayugia memahami peri pentingnya ibadah puasa di dalam Islam? Kewajiban sebagai hamba Allah adalah banyak, tetapi mengapakan ibadah puasa telah dipilih oleh Allah sebagai rukun Islam yang lima? Kita sedang berbicara mengenai hikmat pensyariatan ibadah puasa. Mengetahui hikmat di sebalik arahan dan larangan Allah adalah penting agar sesuatu arahan itu dapat dilaksanakan dengan penuh khusyuk, redha dan gembira.

Saya akan lorongkan anda untuk memahami peri penting ibadah puasa melalui kesempurnaan Islam yang saling mengikat dan kuat menguat di antara rukun-rukun dan segala pensyariatannya.

Islam bermula dengan kepercayaan di dada. Kepercayaan dinamakan iman. Setiap muslim seawalnya mestilah percaya atau beriman kepada pengajaran Islam yang pertama. Ia dinamakan juga sebagai akidah. Percaya kepada Allah sebagai tuhan yang esa adalah asas utama. Daripada kepercayaan terhadap akidah Allah sebagai tuhan yang esa, maka terbentuklah sejumlah kepercayaan lain oleh seorang muslim di dalam hidupnya.

Rasulullah membina kepercayaan muslim dengan binaan enam rukun-rukun iman yang mesti diteguhkan. Ia adalah percaya kepada malaikat, kitab, rasul, hari akhirat dan percaya kepada qadha dan qadar. Enam rukun ini adalah asas yang mencukupi bagi menjaga sejumlah kepercayaan yang terbina di dalam hati seorang muslim yang sempurna.

Oleh kerana iman adalah soal hati yang tersembunyi daripada seluruh makhluk dan hanya Allah sahaja yang mengetahui, manakala Islam pula bukanlah sekadar hubungan hamba dengan tuhannya, bahkan ia juga adalah hubungan di antara makhluk sesama mereka, maka adalah menjadi satu kemestian bahawa kepercyaan di dada itu dizahirkan jua agar diketahui oleh seluruh manusia dengan jelas.

Di sinilah kalimah syahadah 'La Ilaha IllaLlah' bermula. Ia adalah penzahiran pertama iman di dada yang tersembunyi di dalam diri seorang yang telah beriman dengan keesaan Allah tersebut. Dipilih lidah menjadi anggota zahir pertama melaksanakan tugas penzahiran iman ini adalah kerana sifatnya yang ringan, dekat dan sering dikaitkan sebagai duta kepada isi hati.

Lidah tidak mencukupi. Anggota zahir manusia beratus-ratus jumlahnya. Semua mestilah menzahirkan keimanan kepada Allah. Bahkan lidah juga tidak sempurna. Ia boleh jadi benar pada tuturnya, boleh jadi juga berbohong. Itu sifat lidah. Penuh kemunafikan. Justeru diperlukan penzahiran yang lebih nyata agar keimanan di dada diterjemahkan sesempurnanya pada anggota zahir.

Di sinilah rukun-rukun Islam dibina. Ia mewakili penzahiran lengkap yang saling mengukuhkan kejituan iman seorang muslim terhadap Allah yang esa. Rukun Islam di bina dengan lima jenis ibadah. Ia adalah mengucap dua kalimah syahadah, solat, zakat, puasa dan haji.

Kelima-lima rukun ini jika dilaksanakan dengan sempurna, ia akan membina peribadi muslim yang saling membenarkan di antara iman di hati yang tersembunyi dan seluruh anggota zahir yang dilihat oleh seluruh makhluk yang lain.

Seperti yang disebut di atas, rukun pertama adalah ibadah dengan lidah. Lidah mestilah berkata dan bersaksi.. 'La Ilaha IllaLlah' dengan suara yang jelas. Suaranya mestilah didengari oleh seorang muslim yang lain atau lebih sebagai saksi keislamannya. Saksi muslim inilah yang akan memproklamasi keislamannya di hadapan khalayak. Justeru sahlah dia adalah seorang muslim yang nyata pada zahirnya dan hubungannya sesama makhluk selepas itu adalah hubungan sebagai manusia muslim.

Apakah peranan ibadah solat? Bagaimana pula ibadah puasa? Kita bicara di siri kedua jelajah ibadah puasa ini nanti, insya Allah.

Disunting oleh:
Kelab Media Baru
Lajnah Penerangan dan Penerbitan
PMMS

No comments:

Post a Comment