Wednesday 24 June 2015

Sejarah Ketamadunan Islam (Siri 1)

PERTEMBUNGAN ANTARA GOLONGAN Al-MAADIYYAH DAN AL-GHAIBIYYAH.

Oleh: Zaharudin Muhammad.

Pada awal-awal surah Al-Quran, disebutkan sifat orang yang beriman ialah mereka percaya kepada perkara Ghaib, iaitu perkara yang diceritakan, dijanjikan dan ancaman oleh Al-Quran sekalipun ia tidak dapat dilihat oleh pancaindera. Lawannya ialah golongan yang percaya kepada Al-Maadiyyah, iaitu golongan yang hanya percaya kepada perkara-perkara yang dapat dilihat dan dirasai oleh pancaindera; dapat dilihat dengan mata, dilihat dengan akal, dihitung dengan logik, dirasa dengan anggota badan, didengar dengan telinga dan deria-deria lain.

Dengan kata lain, golongan beriman kadangkala mereka menerima bulat-bulat apa yang diceritakan, diberitahu dan dijanjikan Al-Quran dan As-Sunnah. Syurga, neraka, dosa, pahala dan lain-lain sekalipun mereka tidak melihatnya.

Tetapi golongan yang Al-Maadiyyah ini mereka hanya percaya kepada sesuatu yang hanya dapat dirasai dan dilihat oleh pancaindera. Sebab itu Bani Israel pernah meletakkan syarat untuk beriman hanya apabila melihat Allah di hadapan mata (An-Nisa': 153). Ada di kalangan mereka yang mahu beriman hanya apabila mereka dapat melihat kitab itu turun daripada langit.

Begitulah pertembungan antara dan iman di mana orang yagn beriman mereka menggunakan akal untuk memahami nas dan arahan ilahi, seterusnya meyakininya sekalipun pemberitahuan nas itu tidak masuk akal. Tetapi golongan Al-Maadiyyah, sekalipun nasnya jelas, tetapi mereka akan menggunakan akalnya itu bukan untuk memahami nas, tetapi untuk melihat nas itu dari segi kacamata Maadiyyah, jika dilihat selari dengan data, fakta, akal dan logik, maka mereka akan menerimanya. Dari segi lain, ini dinamakan sebagai Baik Buruk Diukur dengan Akal (التحسين والتقبيح العقليان) yang dipegang oleh Muktazilah.

Itu contoh yang basic apabila kita mempelajari syariat berkenaan sifat-sifat kita mukmin terhadap perkara ghaib. Tetapi di sini suka untuk saya 2 bentuk contoh, contoh ekonomi, perundangan dan haraki.

Contoh ekonomi, di zaman umar bin Abdul Aziz naik menjadi Khalifah, dasar penghapusan cukai yang tiada nas telah ditentang oleh Gabenor Mesir. Beliau memberikan alasan, jika cukai itu dihapuskan, duit negara akan susut dan bagaimana mereka boleh mentadbir dalam keadaan begitu. Gabenor tersebut bercakap berdasarkan fakta dan angka justeru itulah financial statement negara sejak daripada zaman Hajjaj bin Yusof As-Saqafi. Saidina umar membalas surat gabenor tersebut bukan dengan fakta, data dan angka, tetapi ia membalas dengan hujah iman. Beliau menulis: sesungguhnya Nabi Muhammad diutuskan untuk berdakwah, bukan untuk mengutip cukai. Berlaku adillah kamu (dengan menghapuskan semua cukai-cukai itu atau (jika tidak) aku akan pecat kamu. (إنما بعث محمد داعيا وليس جابيا، اعزل أو اعتزل). Result realitinya selepas penghapusan cukai itu, harta negara melimpah tidak sampai setahun selepas perlaksanaannya.

Contoh perundangan, dalam hukuman Qisas Allah menjanjikan perlaksanaannya akan menjamin kehidupan . (Al-Baqarah: 179). Logiknya, jika dilaksanakan hukuman ini maka bertambah orang yang mati justeru pesalah dijatuhkan hukuman bunuh. Statistik pembunuhan yang tinggi dan pesalah yang ramai sepatutnya akan lebih ramai yang mati apabila hukuman itu dilaksanakan. Tetapi realitinya, apabila dilaksanakan, kematian berkurangan disebabkan penjahat tidak berani membunuh musuh atau mangsa mereka. Sebab itu sejarah islam mencatatkan, selepas dilaksanakan hukuman Islam, statistik jenayah turun mengejut bahkan jenayah yagn berlaku boleh dibilang dan dihitung dengan jari.

Dari segi politik, Bani Israel di dalam kisah peperangan antara Jalut dan Talut, ujian dengan air sungai menyebabkan tentera Talut seramai 80 ribu hanya berbaki seramai 6 ribu sahaja akibat ujian tersebut. Logiknya, bagaimana baki 6 ribu boleh berhadapan dengan tentera Jalut yang berlipat kali ganda bilangan tentera dan senjata mereka? Akalnya mustahil mereka boleh menang. Tetapi yang sedikit ini tidak berundur sebab mereka yakin dan mengulang-ulang janji Allah "Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar". - (Al-Baqarah: 249). Realiti akhir, mereka yang sedikit ini dapat kalahkan Jalut yang besar, kuat dan ramai.

Di sana terlalu banyak contoh-contoh pertembungan antara golongan Al-Maadiyyah dan Al-Ghaibiyyah.

Dalam kehidupan hari ini, kita kadang-kadang terlalu ghairah dengan data dan fakta sehingga kita lupa beberapa perkara asas dan penting yang berupa pesanan Al-Quran. Data dah fakta penting, tetapi kedudukan selepas Al-Quran dan As-Sunnah.

Sekalipun data dan fakta serta culaan menunjukkan kita akan kalah dengan pendekatan politik Islam serta dakwah, pun begitu kita tetap akan meneruskan pendekatan politik dakwah ini (politik adalah alat dakwah) hatta sekalipun data, statistik, survey dan lain-lain menunjukkan kita akan kalah atau hancur lebur. Kerana kita yakin Allah yang menjaga agama dan kumpulannya yang mempertahankan agama. Memang mungkin Al-Maadiyyah (data dan fakta) tidak menyokong, tetapi kita adalah kumpulan yang percaya kepada perkara ghaib yang dijanjikan oleh nabi SAW: 
لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق لا يضرهم من خذلهم حتى يأتي أمر الله وهم كذلك
Maksudnya: Sentiasa ada di kalangan umatkua satu kumpulan yang mengzahirkan (mempertahankan) kebenaran. Golongan yang menentang tidak memberikan kemudaratan kepada mereka sehigga datangnya kemenangan daripada Allah dan mereka dalam keadaan demikian (mempertahankan kebenaran).

Janji nabi ini kita pegang sekalipun bercanggah dengan data, fakta, statistik dan segala bentuk Al-Maadiyyah yang lain. Mereka yang menentang biarkan mereka terus menentang kerana inilah realiti dunia dan kita sekarang bukan berada di dalam syurga.

Janji dariapda nas bahawa kumpulan yang terus memperkatakan kebenaran ini akan kekal dan hidup (tidak mati) sehingga sampai masa ia akan menang. Memang kita semaksimum mungkin ingin meramaikan orang bersama kita. tetapi di sana ada ingatan daripada nas yang menyatakan bahawa: Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. - (Al-Maidah: 48).

Maka kita yang percaya kepada Al-Ghaibiyyah ini yakin dan percaya sepenuhnya bahawa kapal kita tidak akan karam atau lenyap selama mana kita pertahanan dan julang kebenaran Islam. Itu perkara ghaib yang dijanjikan oleh nas sekalipun data, fakta dan statistik Al-Maadiyyah menunjukkan sebaliknya. yang kita bimbang ialah kita dan sahabat-sahabat kita lenyap daripada persada selepas kita berubah daripada beriman kepada Al-Ghaibiyyah kepada beriman kepada Al-Maadiyyah.

Ingatan ini untuk diri saya dan semua teman-teman seperjuangan.

Sekian.

Penyunting:
Lajnah Penerangan dan Penerbitan
PMMS

No comments:

Post a Comment