Tuesday 30 June 2015

Bantuan Ke GAZA Dalam Perjalanan

Sumber : Buletin Online

‘Freedom Flotilla III’ Akan Sampai Ke Pelabuhan Gaza Selewat-Lewatnya 4 Hari

Freedom Flotilla III, sebuah pelayaran gabungan beberapa buah bot antarabangsa telah pun berlepas dari beberapa lokasi dan kini sedang menghampiri perairan Gaza serta dijangka tiba dalam beberapa hari lagi di pelabuhan Gaza.

Para peserta yang menjadi pelayar adalah 48 orang aktivis hak asasi manusia termasuk, wartawan, artis, dan tokoh-tokoh politik yang mewakili 17 buah negara.

Satu kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawang pelayaran itu menyatakan bahawa ini adalah Freedom Flotilla ketiga yang berlayar, sebagai tambahan kepada sembilan bot tunggal yang telah belayar ke Gaza sebelum ini.

Bermula pada tahun 2008, beberapa pelayar individu telah mencapai pelabuhan Gaza dan kembali ke Eropah, menyempurnakan misi mereka membawa bekalan dan ‘perpaduan’ kepada rakyat Gaza.

Antara aktivis hak asasi manusia dari seluruh dunia yang berada di atas kapal itu ialah ahli Parlimen Arab Israel, Basel Ghattas dan bekas Presiden Tunisia Mohamed al-Moncef al-Marzouki.

Jika keadaan cuaca mengizinkan dan Israel tidak membuat apa-apa halangan, konvoi tersebut akan tiba di Gaza antara dua hingga empat hari lagi, kata kenyataan itu.

“Sebagai seorang manusia dan warganegara Israel, saya tidak mahu tinggal diam (apabila) lebih pencabulan hak asasi manusia (berlaku di) Israel,” kata Zohar Chamberlain Regev, ahli jawatankuasa organisasi, memberitahu Agensi Anadolu Sabtu.

Regev berkata konvoi itu bertujuan memberi Palestin hak untuk bergerak bebas tanpa terdedah kepada mana-mana sekatan pendudukan haram Israel.

“Kami mahu mencapai Gaza. Ini adalah satu-satunya cara untuk menunjukkan kepada rakyat Gaza bahawa kita berada dalam perpaduan dengan mereka.”tambah beliau

Armada tersebut dijemput oleh rakyat Palestin melalui pelbagai organisasi, yang bekerja untuk membantu mangsa yang cedera, kehilangan tempat tinggal, bekerja dan terlantar akibat operasi ketenteraan Israel, menurut kenyataan itu.

Gabungan itu berkata matlamat secara aman mereka adalah bukan bertindak terhadap Israel tetapi menentang ‘penjajahan’ Israel dan menambah bahawa ia tidak memerlukan mana-mana kerajaan di dunia untuk bertindak balas terhadap tindakan kerajaan Israel ke atas rakyat Palestin.

‘Freedom Flotilla III’ telah membuat beberapa perhentian dalam perjalanan ke Gaza, di Greece, Sepanyol dan Perancis.

Beberapa gerakan NGO seperti ‘Boat Kanada ke Gaza’, ‘Kapal Greek ke Gaza’, Freedom Flotilla Italia, Norway Kapal ke Gaza, Afrika Selatan Palestin Perpaduan Alliance, Sepanyol ‘Rumbo satu Gaza’ dan Yayasan Bantuan Kemanusiaan Turki (IHH) adalah sebahagian daripada percubaan ketiga pelayaran seumpamanya.

Yang pertama ekspedisi ‘Gaza Freedom Flotilla’ pada Mei 2010 berakhir dalam tragedi selepas komando Israel membunuh lapan warga Turki dan seorang rakyat Amerika yang berasal dari Turki dalam satu serbuan ke atas kapal konvoi, Mavi Marmara.

Seorang lagi kewarganegaraan Turki meninggal dunia di hospital pada 2014 selepas berada dalam keadaan koma selama hampir empat tahun.

Disunting oleh:
Kelab Media Baru
Lajnah Penerangan dan Penerbitan
PMMS

Sunday 28 June 2015

Penstrukturan Semula Ekonomi ISLAM

Perlunya De-konstruktif Struktur Ekonomi Negara Untuk Penstrukturan Semula Ekonomi ISLAM.

Oleh : Ahmad Hakimi bin Othman

Melihat kepada perkembangan Bajet 2015 yang dibentang pada tahun ini, yang menjadi rutin tahunan bagi Parlimen Malaysia setiap tahun. Saya melihat perlu kepada pejuang pejuang ISLAM di Malaysia untuk sama sama kita bergerak mencari penyelesaian sempurna dan mendasar bumi bagi memberi penyelesaian kepada masalah ekonomi dan Sosial negara kita. Retorik kerajaaan saban tahun dalam pembentangan bajet nasional perlu dihentikan dan digantikan dengan tindakan yang tepat yang dapat menyelesaikan masalah rakyat dan mematuhi syariat ALLAH dalam mengurus negara. Untuk mencari Penyelesaian kepada kerangka ekonomi dan sosial yang ada, kita perlu melihat satu persatu struktur yang ada untuk ditimbal balik dengan solusi ekonomi sosial yang lebih membumi iaitu penyelesaian yang didatangkan oleh ALLAH untuk Manusia..

 

Umum mengetahui, kerangka ekonomi dunia ketika ini, hanya berkembang di sekitar polisi ekonomi liberal kapitalisme dan sosialisme yang berdasarkan thesis thesis dari barat. Umat Islam dan negara ISLAM masih lagi terjajah dan terperangkap dalam lingkungan dua sistem ini. Pelaksanaan ISLAM yang ada hanya tertumpu kepada sub sistem -subsistem yang tertentu seperti Perbankan ISLAM, Transaksi ISLAM tanpa melibatkan proses proses yang melibatkan kerangka makroekonomi yang ada. Hasilnya, Sistem ISLAM yang dilaksanakan masih dikawal sistem liberal yang ada dan tidak bebas sepenuhnya untuk berdiri dengan sendiri. Kerangka sosio-ekonomi Malaysia sejak dari awal mengikut kerangka penjajah yang menanam budaya kapitalisme. Penggerak gerakan ISLAM di Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada tindakan reaktif semata mata, sudah sampai masanya kita memecah dominasi sekuler kepada ISLAM sepenuhnya.

 

Melihat dari sirah dan sejarah Negara Umat ISLAM yang dibangunkan Nabi Saw. Nabi telah melestarikan pembangunan akidah bersama dengan muamalat yang sesuai dengan zaman baginda. Langkah pertama ketika Membina Madinah, baginda menjadikan Masjid Nabawi sebagai Dasar Utama membangunkan jiwa jiwa manusia yang istiqamah mentauhidkan ALLAH. Rutin Harian berjemaah di Masjid dan bersama kepimpinan Nabi SAW melahirkan generasi alquran yang memahami bahawa segala aktiviti di Dunia mesti mengutamakan taabudi kepada ALLAH. Selepas mendirikan Masjid, Nabi meletak tapak baru ekonomi Umat ISLAM dengan menyediakan pula Pasar Khas untuk Umat ISLAM supaya mereka bebas dari bercampur dengan peniaga peniaga tidak berakhlak di pasar pasar Yahudi sekitar Madinah. Di Pasar terbuka Umat ISLAM inilah, sistem ISLAM bebas berdiri tanpa terikat dengan amalan amalan tradisi yahudi dan Quraisy yang menyeleweng dalam perniagaan. Muamalat ekonomi umat ISLAM diasaskan berdasar syahadah kepada ALLAH dan Rasulnya lantas menjadi daya tarikan utama kemajuan ekonomi yang berdasarkan amalan menurut wahyu. Persaingan perniagaan tertegak atas kejujuran, keimanan dan daya tarik yang diinovasi oleh mereka mereka yang jujur dan beriman kepada ALLAH dan Rasul.

 

Jelas daripada sejarah ringkas ini, kita boleh membuat satu kesimpulan bahawa Nabi Muhammad SAW dan para sahabat memahami benar bagaimana cara sebenar dan sesuai untuk keluar dari sistem ekonomi yang rosak. Wajah sistem yang rosak ketika itu diwakili oleh pasar pasar yang dikuasai Kabilah Yahudi seperti pasar bani Qainuqa'. Maka, untuk keluar dari terperangkap dalam sistem lama, Nabi Saw membina satu pasar lain yang langsung bebas dari pengaruh pengaruh buruk yahudi dan arab lama. Keadaan ini boleh kita qiaskan dengan keadaan semasa di zaman kotemporari ini. Dalam sekeliling yang penuh dikuasai oleh kapitalis kapitalis liberal dalam ekonomi, kita perlu cari jalan untuk menyediakan medan yang mana Umat ISLAM tidak perlu bercampur dengan mereka yang rosak ini. Umat ISLAM perlu disediakan ruang bebas untuk berekonomi sepenuhnya dengan cara ISLAM. Kalau di zaman Nabi di Madinah, kesemua ini boleh dilakukan dengan menguasai bahan mentah dan asas serta pengeluaran. Yang mana ketika itu, Hasil kurma dan anggur menjadi produk utama madinah. Manakala haiwan ternakan, pakaian dan lain lain dibawa dari kawasan pedalaman ataupun didatangkan dari Syam di sebelah utara atau Yaman di sebelah selatan. Variasi variasi ini membolehkan Umat ISLAM bertukar barang dagangan dalam Pasar yang dikawal Umat ISLAM.

 

Perkara asas yang dibuat oleh Nabi Muhammad Saw ialah memahami masalah dasar. Maka dengan sebab itu, untuk memahami masalah dasar dalam zaman kita, kita perlu meleraikan struktur yang ada yang dibina liberal kapitalis kepada sub sub sistem ada. Selepas itu, baru kita boleh dapat menyusun bagaimana langkah seterusnya untuk menstrukturkan semula ekonomi ISLAM untuk ditempatkan secara bebas tanpa pengaruh ideologi dan sistem asing yang sesat dan rosak. Memahami dasar bukan sesuatu yang payah kerana kita ada panduan wahyu dari ALLAH dan Rasul. ISLAM kaya dengan sumber ilmu dan ilham ilham ilmu yang dapat memberi penyelesaian kepada manusia beriman yang sunggub sungguh mahu mendapat redha ALLAH dalam muamalat ekonomi dunia ini. Yang mungkin merumitkan keadaan dalam usaha kita ini ialah tentangan tentangan Kapitalis yang akan terancam dengan perancangan kita ini. Mereka akan cuba mendominasikan ekonomi Umat ISLAM melalui polisi polisi kerajaan dan sekuler yang akan menyekat perkembangan kita. Oleh itu, perlu pula di kalangan umat ISLAM membina jaringan Komuniti yang akan berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu melayan ancaman ancaman dari luar yang didominasi oleh Liberal Kapitalis.

 

Daripada pembentukan komuniti yang mengamalkan budaya ISLAM inilah, akan lahir pula sub sistem daulah ISLAM yang memberi contoh penyelesaian sebenar kepada dunia bahawa ISLAM akan memimpin perubahan kepada rahmat sekalian Alam. Sudah pasti, di peringkat ini, Politik ISLAM perlu memainkan peranan agar aktivit komuniti ISLAM yang dirancang tidak digugat dan juga mempunyai mekanisma yang dapat bertahan dari serangan dan ancaman luar. Dalam sejarah Moden, kita dapat melihat kejayaan sekejap atau teladan ini pernah dimainkan oleh jaringan Sarekat dagang ISLAM yang dibangunkan Oleh HOS Choakrominoto. Sarekat Dagang ISLAM dapat memecah monopoli Pedagang Cina di Indonesia dan Nusantara dalam perniagaan batik dan sumber bumi. Melalui jaringannya pula, mereka dapat menngoptimiskan kemahiran Orang Bugis membuat perahu dan Kapal untuk meluaskan jaringan ke seluruh Nusantara. Kesannya, kita dapat melihat industri Batik Di Terengganu berkembang sejajar dengan industri Batik di Kepulauan jawa. Pertukangan perahu dan Kapal yang bermula di Kepulauan Sulawesi dan Maluku, turut juga dibangunkan di Pulau Duyung sebagai industri sokongan kepada perkembangan ekonomi yang diaspirasikan oleh Sarekat Dagang ISLAM.

 

Namun semua yang diterangkan ini lebih bersifat mikroekonomi yang melibatkan individu individu ISLAM. Kita masih lagi perlu mengembangkan aspek makro ekonomi ISLAM yang meliputi pengurusan perbendaharaan Negeri yang melibatkan pembalakan, perladangan, perikanan , perlombongan dan Sistem Kewangan yang akan menjadi struktur sokongan kepada Pengurusan Ekonomi Negara. Dengan adanya kefahaman dan pengurusan teknikal makro ekonomi ISLAM ini, kita akan mampu untuk menangani pula sistem Pengurusan Fiskal yang di asaskan oleh ekonomi barat dan Sekuler. Isu Pengurusan Fiskal ini , begitu terikat dengan sistem cukai dari barat. Sekiranya Umat ISLAM mahu ekonomi ISLAM digantikan sepenuhnya pada sudut makro Ekonomi, Pentadbir pentadbir ISLAM mesti membebaskan Urusan Fiskal untuk digantikan dengan pengurusan Sumber Negara secara berpusat. 

Maka di sinilah kita boleh melihat bagaimana Khalifah Saidina Umar Al Khattab menguruskan sumber sumber ghanimah, Tanah rampasan dan lain lain untuk disesuaikan dengan pengurusan Empayar ISLAM yang semakin berkembang. Hasil Pengurusan perbendaharaan inilah, akhirnya, Kerajaan ISLAM zaman itu mampu menggaji tentera dan pegawai secara tetap. Tambahan pula, sekiranya aktiviti mikroekonomi umat ISLAM turut berkembang seiring dengan Makro Ekonomi ISLAM, Negara ISLAM mampu menyediakan sistem baitul Mal yang akan menguruskan pula perbezaan sosio ekonomi yang berlaku dalam masyarakat. Maka, di sinilah kita yakin sepenuhnya kenapa sistem ISLAM tidak boleh dilaksanakan secara terpilih atau secara satu satu. ISLAM mesti diambil secara keseluruhan, barulah ia akan menampak sifatnya sebagai rahmat seluruh alam.

 

Dalam negara kita Malaysia ini, Ada beberapa perkara yang boleh kita lihat dan rancang semula untuk mengikut neraca ISLAM. Perkembangan ini perlu dibina bersungguh sungguh supaya subsistem subsistem ISLAM ini mampu dibangunkan keseluruhannya sama ada secara serentak ataupun berperingkat peringkat. Peranan ISTANA, majlis Agama dan Perbendaharaan negeri mesti dirancang dan diselarikan mengikut citra citra yang disarankan oleh ISLAM. Semoga artikel ringkas ini mampu membuka langkah ke arah kita merancang semula kerangka ekonomi ISLAM supaya ia dapat menjadi unsur penting dalam membangunkan Daulah ISLAM yang kita cita citakan.

Disunting oleh:
Kelab Media Baru
Lajnah Penerangan dan Penerbitan
PMMS

Puasa BAB 6

Catitan Bab Puasa 6 (Muzakarah)

Antara perkara-perkara yang disunatkan ketika puasa:

-Menyegerakan berbuka (1)
-Melewatkan sahur (2)
-Memelihara lidah daripada perkara-perkara yang keji (3)
-Meninggalkan berbekam atau mengeluarkan darah daripada badan (4)
-Meninggalkan merasa makanan atau selainnya
-Meninggalkan bersugi selepas daripada gelincir matahari (5)
-Memperbanyakkan bacaan dan tadarus al-quran sepanjang ramadhan
-Memperbanyakkan iktikaf khususnya sepuluh akhir ramadhan

(1)Iaitu sunat menyegerakan berbuka apabila yakin terbenam matahari atau kuat zonnya (sangkanya) akan terbenam matahari dengan ijtihadnya.Adapun jika tidak yakin akan terbenam matahari maka tidak sunat menyegerakan berbuka.

(2)Sunat melewatkan sahur itu selama mana tidak jatuh pada syak terbit fajar.Adapun jika syak seseorang itu akan terbit fajar maka tidak sunat lagi ia melewatkan sahur,bahkan yang afdholnya bahawa ia tinggalkan melewatkan sahur itu.

(3)Iaitu memelihara lidahnya daripada menipu, mengumpat, mengadu domba, mencela, dan lainnya daripada perkataan-perkataan yang keji dan tidak memberi manfaat.

(4)Makruh mengeluarkan darah sama ada dengan cara berbekam atau suntikan supaya keluar daripada khilaf ulama yang mengatakan batal puasa dengannya.Ada juga sebahagian ulama yang berkata dengan خلاف الأولى (menyalahi yang terlebih utama)

(5)Sunat meninggalkan bersugi selepas daripada gelincir matahari itu sama ada pada puasa fardhu atau puasa sunat.

Catitan daripada kitab:
-Hasyiah Baijuri a'la syarah Ibnu Qosim
-Sabil al-muhtadin karya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari رحمه الله

Disunting oleh:
Kelab Media Baru
Lajnah Penerangan dan Penerbitan
Persatuan Mahasiswa Malaysia Sudan

Sistem Ekonomi Konvensional Menindas Pengguna

Oleh: Zaharudin Muhammad. 

Islam ketat pada penghukuman tetapi bebas pada muamalat dan tindak tanduk. Rakyat bebas melakukan apa sahaja, nak keluar jam berapa, nak makan jam berapa, tuan kedai nak berniaga 12 jam ke, 15 jam hatta 24 jam, maka mereka tidak sepatutnya disekat dan dikongkong. Itulah kebebasan yagn disabdakan oleh Nabi SAW: biarkan orang ramai tentukan tentang rezeki mereka. 

Sebagai bayarannya, apabila ada orang jahat dan salah, maka Islam ketatkan pada hukuman bagi menjamin kebebasan orang lain. 

Akibat daripada statistik konon-kononnya masalah sosial di negara kita meningkat akibat kedai 24 jam sebagaimana keluar dalam muka depan akhbar Berita Harian hari ini (26 Jun 2015). Ini yang saya maksudkan dalam tulisan saya sebelum ini, bahawa Islam ketat pada penghukuman kesannya akan menjadikan orang ramai lebih bebas. Itu yang saya maksudkan dengan: "ke arah rakyat Malaysia yang lebih bebas". 

- Masalah sosial akibat pergaulan bebas orang-orang Islam? Sepatutnya dihukum dengan undang-undnag Islam mereka yang berzina dan berkhalwat. Tapi hari ini semua dalam bentuk lepas batuk ditangga. 

- Masalah sosial sebab minum arak? bukankah di sana hudud dikenakan ke atas muslim dan non muslim dengan had-had tertentu? Tetapi hari ini salah bila memandu tetapi minum paling tinggi pun hanya kena tangkap di pegawai agama dengan hukuman juga lepas batuk di tangga. 

- Masalah sosial sebab merempit? Bukankah di sana adanya hukuman qisas dan takzir bagi kesalahan ini? hari ini mat rempit baik, minah rempit baik mereka tak takut jika langgar orang mati sekalipun atau rosakkan motor sendiri atau kenderaan orang lain justeru ada insuran. Mereka tak perlu tanggung sendiri sebagai mana dalam sistem takzir islam. 

Apabila undang-undang Islam tidak dilaksanakan maka ia menyebabkan masalah sosial akibat daripada kelonggaran undang-undnag konvensional. Kesannya mereka ingin menyekat kebebasan orang ramai bagi mengatasi masalah sosial. Adil ke? Orang lain buat salah, orang ramai kena sekat?!!!

Dalam Islam, ketatkan undang-undang dan hukuman kepada pesalah sosial, maka orang ramai bebas sekalipun nak buka kedai 48 jam sekalipun atau nak lepas di kedai sampai pagi sekalipun. 

Ketatkan hukuman, rakyat akan bebas. Longgarkan hukuman orang ramai dikongkong. Undang-undang mana yang anda pilih? Tepuk dada tanya selera jika tak mahu tanya iman sekalipun. 

Kebebasan rakyat dijamin oleh undang-undang Islam. 

Sekian. 

Disunting oleh:
Kelab Media Baru
Lajnah Penerangan dan Penerbitan
Persatuan Mahasiswa Malaysia Di Sudan

Friday 26 June 2015

Memahami Kewajiban Rukun Islam : Berpuasa Di Bulan Ramadhan

Jelajah Ibadah Puasa:
Memahami Kewajiban Rukun Islam (1)

Oleh: Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Ibadah puasa adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima. Justeru kedudukannya di sisi Islam adalah amat tinggi.

Ia difahami dengan jelas dan baik oleh seluruh umat Islam sedari dulu sehinggalah kini apabila kedatangan bulan Ramadhan disambut dengan penuh kemeriahan dan kerinduan oleh mereka.

Sepanjang hari pada bulan ini, ibadah puasa dilaksanakan. Mereka diwajibkan meninggalkan makan dan minum bermula terbit fajar subuh sehinggalah matahari terbenam. Mereka juga wajib meninggalkan jimak dengan isteri pada siang hari selain menyempurnakan ibadah itu dengan meninggalkan segala perbuatan buruk yang lahir dari lidah dan anggota tubuh mereka.

Pada sebelah malam pula, mereka digalakkan menghidupkannya dengan ibadah kepada Allah. Solat tarawih dan tilawah al Quran adalah antara ibadah besar yang dianjurkan oleh baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Lailatul Qadr adalah kemuncak ganjaran yang dijanjikan oleh Allah. Siapa saja yang berjaya menghidupkan malam Lailatul Qadr, sesungguhnya dia telah memperolehi segala kebaikan dan rahmat daripada Allah.

Sepanjang bulan Ramadhan, kehidupan dunia Islam berubah dengan seluruh umat Islam bersedia untuk menjalani proses kehidupan dan pendidikan rohani yang mencetuskan semangat luar biasa dalam diri mereka untuk berubah menjadi hamba Allah yang taat dan menjadi insan yang berguna di dunia. Suasana kasih sayang, bantu membantu dan meraikan golongan miskin begitu terserlah pada bulan yang mulia ini.

Begitulah gambaran ringkas perlaksanaan ibadah puasa yang merupakan salah satu rukun Islam yang lima ini. Ia diingati oleh seluruh umat Islam, bahkan oleh masyarakat non muslim juga yang hidup bersama umat Islam.

Bagaimanakah kita sayugia memahami peri pentingnya ibadah puasa di dalam Islam? Kewajiban sebagai hamba Allah adalah banyak, tetapi mengapakan ibadah puasa telah dipilih oleh Allah sebagai rukun Islam yang lima? Kita sedang berbicara mengenai hikmat pensyariatan ibadah puasa. Mengetahui hikmat di sebalik arahan dan larangan Allah adalah penting agar sesuatu arahan itu dapat dilaksanakan dengan penuh khusyuk, redha dan gembira.

Saya akan lorongkan anda untuk memahami peri penting ibadah puasa melalui kesempurnaan Islam yang saling mengikat dan kuat menguat di antara rukun-rukun dan segala pensyariatannya.

Islam bermula dengan kepercayaan di dada. Kepercayaan dinamakan iman. Setiap muslim seawalnya mestilah percaya atau beriman kepada pengajaran Islam yang pertama. Ia dinamakan juga sebagai akidah. Percaya kepada Allah sebagai tuhan yang esa adalah asas utama. Daripada kepercayaan terhadap akidah Allah sebagai tuhan yang esa, maka terbentuklah sejumlah kepercayaan lain oleh seorang muslim di dalam hidupnya.

Rasulullah membina kepercayaan muslim dengan binaan enam rukun-rukun iman yang mesti diteguhkan. Ia adalah percaya kepada malaikat, kitab, rasul, hari akhirat dan percaya kepada qadha dan qadar. Enam rukun ini adalah asas yang mencukupi bagi menjaga sejumlah kepercayaan yang terbina di dalam hati seorang muslim yang sempurna.

Oleh kerana iman adalah soal hati yang tersembunyi daripada seluruh makhluk dan hanya Allah sahaja yang mengetahui, manakala Islam pula bukanlah sekadar hubungan hamba dengan tuhannya, bahkan ia juga adalah hubungan di antara makhluk sesama mereka, maka adalah menjadi satu kemestian bahawa kepercyaan di dada itu dizahirkan jua agar diketahui oleh seluruh manusia dengan jelas.

Di sinilah kalimah syahadah 'La Ilaha IllaLlah' bermula. Ia adalah penzahiran pertama iman di dada yang tersembunyi di dalam diri seorang yang telah beriman dengan keesaan Allah tersebut. Dipilih lidah menjadi anggota zahir pertama melaksanakan tugas penzahiran iman ini adalah kerana sifatnya yang ringan, dekat dan sering dikaitkan sebagai duta kepada isi hati.

Lidah tidak mencukupi. Anggota zahir manusia beratus-ratus jumlahnya. Semua mestilah menzahirkan keimanan kepada Allah. Bahkan lidah juga tidak sempurna. Ia boleh jadi benar pada tuturnya, boleh jadi juga berbohong. Itu sifat lidah. Penuh kemunafikan. Justeru diperlukan penzahiran yang lebih nyata agar keimanan di dada diterjemahkan sesempurnanya pada anggota zahir.

Di sinilah rukun-rukun Islam dibina. Ia mewakili penzahiran lengkap yang saling mengukuhkan kejituan iman seorang muslim terhadap Allah yang esa. Rukun Islam di bina dengan lima jenis ibadah. Ia adalah mengucap dua kalimah syahadah, solat, zakat, puasa dan haji.

Kelima-lima rukun ini jika dilaksanakan dengan sempurna, ia akan membina peribadi muslim yang saling membenarkan di antara iman di hati yang tersembunyi dan seluruh anggota zahir yang dilihat oleh seluruh makhluk yang lain.

Seperti yang disebut di atas, rukun pertama adalah ibadah dengan lidah. Lidah mestilah berkata dan bersaksi.. 'La Ilaha IllaLlah' dengan suara yang jelas. Suaranya mestilah didengari oleh seorang muslim yang lain atau lebih sebagai saksi keislamannya. Saksi muslim inilah yang akan memproklamasi keislamannya di hadapan khalayak. Justeru sahlah dia adalah seorang muslim yang nyata pada zahirnya dan hubungannya sesama makhluk selepas itu adalah hubungan sebagai manusia muslim.

Apakah peranan ibadah solat? Bagaimana pula ibadah puasa? Kita bicara di siri kedua jelajah ibadah puasa ini nanti, insya Allah.

Disunting oleh:
Kelab Media Baru
Lajnah Penerangan dan Penerbitan
PMMS

Thursday 25 June 2015

Korban Cuaca Panas Pakistan

1000 Korban Cuaca Panas Terik

Lebih 1,000 orang terbunuh sejak lima hari lalu akibat cuaca panas terik membakar di Pakistan, dengan kesan yang paling teruk di ibu negaranya Karachi.

Menurut angka yang dikeluarkan oleh 10 buah hospital di Karachi, ‘panas terik yang mencekik’ yang diharap akan berkurangan pada hari-hari yang akan datang, telah menyebabkan 815 orang meninggal di bandar, dengan 65 mati orang menghembuskan nafas terakhir pada hari Rabu.

Menurut Ketua Menteri wilayah Sindh, Syed Qaim Ali Shah, lebih 200 orang juga telah terbunuh kerana pitam dan penyakit yang berkaitan dengan cuaca panas di daerah pedalaman di wilayah itu.

Ketua Pembangkang Khursheed Shah bagaimanapun telah mendakwa dalam Parlimen bahawa angka itu adalah lebih tinggi dan lebih daripada 1,200 orang terbunuh di Karachi sahaja sejak 20 Jun lalu.

Lebih 3,000 pesakit pitam (stroke) akibat panas dan ramai yang masih dirawat di beberapa hospital di Karachi, yang telah penuh untuk menampung jumlah pesakit. Rakaman televisyen menunjukkan pesakit yang sedang dirawat di lantai wad kecemasan di hospital Jinnah yang dikendalikan oleh kerajaan.

Ketua perkhidmatan kecemasan hospital, Dr. Seemi Jamali, memberitahu pemberita bahawa pentadbirannya menuntut 100 katil tambahan dari kerajaan wilayah ‘secara kecemasan’, untuk menghadapi peningkatan jumlah pesakit.

Musim panas yang terlampau juga menyebabkan bekalan kuasa elektrik terputus sehingga 12 jam sehari di beberapa bahagian negara itu, muncul untuk menjadi salah satu faktor utama di sebalik jumlah kematian yang lebih tinggi.

Pihak berkuasa air dan kuasa telah menyalahkan kedaan itu berlaku, kerana permintaan semakin meningkat, yang juga telah membawa kepada kekurangan air, terutamanya di kawasan miskin di Karachi di mana stesen pam air tidak boleh beroperasi tanpa elektrik.

Kerajaan Sindh mengumumkan satu lagi cuti umum pada hari Rabu untuk mengurangkan penggunaan kuasa.

Ruang tanah perkuburan di bandar ini sudah terhad setelah dibebani dengan kenaikan mendadak kematian, meninggalkan keluarga bergegas ke tanah-tanah perkuburan lain, mencari ruang untuk mengebumikan keluarga mereka.

“Lebih 300 badan masih berbaring di bilik mayat kami. Kami sedang menunggu waris mereka,” kata seorang jurucakap Yayasan Edhi, sebuah NGO sosial dan kesihatan.

Menurut media tempatan, sebilangan besar dari orang-orang terbunuh ialah buruh dan pekerja dari sebelah utara, yang tidak dapat menampung dengan peningkatan haba dan kelembapan

Sumber : BuletinOnline

Disunting oleh :
Kelab Media Baru
Lajnah Penerangan dan Penerbitan
PMMS

Peristiwa Besar Dalam Bulan Ramadhan

Disediakan oleh : Ustaz Mohammad Nazmi bin Abdul Karim

Peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Ramadhan:

1- Nuzul Al Quran berlaku pada 24 Ramadhan (mengikut pendapat yg paling kuat) 13 tahun sebelum Nabi Berhijrah ke Madinah.

2-Muktamar yang pertama dalam sejarah Islam berlaku dalam bulan Ramadhan pada tahun kedua Hijrah Nabi (perbincangan Nabi dan Ahli Syura dikalangan para Sahabat utk menyekat rombongan Abu Sufyan yg akhirnya menjadi punca perang Badr Al Kubra).

3-Pembunuhan terhadap -"Firaun ummat ini" - Abu Jahal di dalam peperangan Badr berlaku pada 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah.

4-Pembukaan Kota Makkah pada 20 Ramadhan bersamaan tahun 8 Hijrah dan Nabi menghancurkan patung Berhala di sekeliling Kaabah dan Berhala yang paling besar bernama Hubal.

5-Pada 24 Ramadhan bersamaan tahun 8 Hijrah, Rasulullah S.A.W menghantar Saad bin Zaid Al Asyhali untuk menghancurkan Berhala yang paling lama " Manat" yang terletak di kawasan pantai antara Makkah dan Madinah.

6-Pada 25 Ramadhan bersamaan tahun 8 Hijrah ,Nabi menghantar Saifullah Al Maslul - Khalid Al Walid- bersama 30 Mujahideen untuk menghancurkan Berhala " Uzza" yang merupakan Berhala terbesar yang terletak 9 KM dari kota Makkah.

7-Pada tahun 9 Hijrah di dalam bulan Ramadhan Nabi menghantar Abu Sufyan dan Mughirah bin Syu'bah ke Bandar Thaif untuk menghancurkan Berhala " Lata".

8-Pada Bulan Ramadhan tahun 9 Hijrah , Allah membuka pintu hati penduduk Thaif untuk beriman kepada Rasulullah S.A.W ,yang sebelum ini mereka menentang Nabi selama 20 tahun.

9-Pada bulan Ramadhan tahun 223 Hijrah , Khalifah Al Mu'tasim bin Rasyid menawan kota Ammuriyyah yang terletak di negara Turki.. Berpunca apabila beliau mendapat berita seorang Muslimat ditangkap oleh tentera Rom lalu Muslimat ini menjerit " وا معتصماه" " wahai Mu'tasim selamatkan aku..".

10-Pada bulan Ramadhan tahun 492 Hijrah Ummat Islam telah dikejutkan dengan peristiwa yang sangat menyedihkan apabila Masjid Al Aqsa ditawan oleh tentera Salib.
( kemudian dibebaskan oleh Sultan Salahuddin Al Ayyubi pada hari Jumaat 27 Rejab tahun 583 Hijrah).

11-Pada bulan Ramadhan tahun 587 Hijrah Sultan Salahuddin Al Ayyubi menawan kota Asqolan yang cantik sehingga diberi gelaran "عروس الشام" -pengantin As Syam- yang terletak di Palestine.

12-Pada 25 Ramadhan tahun 658 Hijrah , Sultan Muzaffar Saifuddin Qutuz menawan Ain Jalut di utara Palestine dan merampasnya dari tentera Tatar yang diketuai oleh Hulako.

13- Pada 14 Ramadhan tahun 666 Hijrah, Sultan Zohir Bibriz menawan Kota Antakiya yang terletak 19 km antara sempadan Turki-Syria ( utara Syria). Yang dikuasai oleh tentera Kristian.

Disunting oleh:
Kelab Media Baru
Lajnah Penerangan dan Penerbitan
PMMS

Sejarah Hitam Memali Bahagian 1

Dari fb : Neil Armsteen

Kisah Benar Tragedi Memali
( Ustaz Ibrahim Libya )

Tanggal 19 Nov 1985, Kg. Memali, Mukim Siong, Baling, Negeri Kedah Darul Aman di bumi Malaysia menjadi saksi satu tragedi yang sangat dahsyat dalam sejarah tanah air. Lebih 3000 anggota keselamatan dihantar oleh pihak pemerintah daripada regim Barisan Nasional untuk melakukan aksi penangkapan ke atas seorang tokoh ulama’ yang bersama di dalam Gerakan Islam di Malaysia iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS). 

Beliau yang mesra dengan panggilan Ust. Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim bin Mahmud merupakan pendakwah tanah air yang sebelumnya pernah berkhidmat bersama Pusat Islam Malaysia. Beliau yang telah sekian lama bersama PAS akhirnya mengambil keputusan meninggalkan Pusat Islam bagi meluaskan lagi ruangnya memberikan perkhidmatan kepada Parti Islam walaupun khidmatnya sangat diperlukan oleh Pusat Islam sehingga beliau pernah dii’tiraf sebagai pendakwah terbaik. 

Dengan suaranya yang lantang dan tegas menghadapi kezaliman-kezaliman pihak pemerintah ketika itu yang diketuai oleh Perdana Menteri Tun.Dr Mahathir bin Mohamad, setiap majlis-majlis pidatonya pasti dihadiri oleh ribuan pendengar dikalangan penyokong dan pendokong gerakan Islam. Internal Security Act (ISA) yang dikuatkuasakan oleh pemerintah adalah merupakan diantara perkara yang sangat kuat ditentang oleh beliau selain dari sikap pemerintah yang dilihat tidak memandang Islam sebagai ‘Aqidah Negara serta jalan penyelesaian masalah ummah. 

Ditambah lagi dengan peribadi pemerintah yang dicemari amalan korupsi dan sebagainya membuatkan Ust Ibrahim begitu bersungguh dalam memberi semangat kepada ahli PAS agar berazam untuk membuat perubahan dalam kepimpinan Negara. 

Sokongan dan dokongan kuat dari ribuan umat Islam di Malaysia yang mencintai perjuangan Islam menjadi ‘mimpi ngeri’ kepada pihak pemerintah. Ianya begitu menakutkan mereka yang mengimpikan kekuasaan dapat dipegang selama-lamanya. Akhirnya, pelbagai tuduhan, fitnah dan label-label jahat dilemparkan kepada PAS khasnya Ust. Ibrahim Libya. Alasan-alasan dicipta bagi membolehkan pihak pemerintah dengan mudah menangkap Ust. Ibrahim. Kerjasama antara pemerintah dengan pihak keselamatan (PDRM) mula dilakukan dengan hebat. 

PDRM menangkap isteri Ust Ibrahim dan memfitnah Ustaz mengajar ajaran sesat seperti mengajar mengucap dua kalimah syahadah dengan menyebut nama Ibrahim Rasulullah dan bukan Muhammad Rasulullah dan menuduh bahawa para syuhadah semua mengucap kalimah dengan menyebut nama Ustaz dan bukan nama Nabi Muhammad S.A.W.

==============================================================

MEMALI DIKEPUNG

Menjelang operasi penangkapan, Kg.Memali dipantau dan dikepung hampir seminggu lamanya. Pertambahan bilangan anggota keselamatan dari sehari ke sehari persis ingin menghadapi satu bala tentera musuh yang besar atau pengganas yang sangat merbahaya yang diperlukan segera. Cerita-cerita karut yang direka mengenai kegiatan Ust. Ibrahim dan pengikutnya di Kg. Memali disiarkan di dada akhbar bagi mengelabui mata orang awam. Ust. Ibrahim yang istiqamah mengajar anak-anak muridnya dikalangan orang tua dan anak muda di Madrasah yang dibinanya dimaklumkan mengajar fahaman salah dan sesat. Semuanya berlaku dalam tempoh menjelang operasi. 

Sangat dahsyat. Tanggal 18 Nov 1985, hampir segenap penjuru kampung telah terkepung, dibimbangi ada sasaran yang terlepas keluar. Penduduk Kg. Memali yang begitu setia bersama guru mereka terus bermunajat kepada Allah memohon keselamatan dan bantuan.

Persiapan persenjataan ala kadar dengan senjata ‘orang kampung’ disediakan kerana bagi mereka mempertahankan diri dan nyawa yang diancam adalah satu kewajipan yang sangat besar. Namun apalah sangat dengan senjata ‘orang kampung’ berbanding pihak pemerintah yang mengahantar bala tentera dengan kelengkapan seolah-olah menghadapi peperangan yang besar. Berpuluh-puluh kereta perisai disediakan, lori water canon, gas pemedih mata, senjata, pelbagai jenis polis disediakan termasuk Pasukan Polis Hutan dan segala macam kelengkapan lain. 

Anggota polis berpecah kepada dua kumpulan akibat berlainan maklumat yang diterima mengenai siapa sasaran dalam operasi ini. Ada yang mendapat maklumat, mereka akan menggempur perkampungan saki baki Komunis dan ada yang mendapat maklumat mereka akan menghadapi kumpulan pemberontak kerajaan. 
Namun, atas arahan dari pemimpin tertinggi pasukan polis yang mesti ditaati, mereka akur juga walaupun ada yang mengetahui bahawa dihadapan mereka bukanlah Komunis. Selepas kejadian, maklumat diterima bahawa pada malam serangan ingin dilakukan iaitu malam 18 Nov tersebut, sebahagian anggota polis bersuka ria dan berpesta besar di sebuah balai polis di Negeri Kedah. 

Antara anggota polis yang terlibat didalam operasi ini termasuklah dikalangan mereka yang bukan beragama Islam.

Antara watak utama dibelakang operasi yang disebut ‘Ops Komunis’ ini, Musa Hitam (Tim. PM), Dato’ Yahya Yeop (pemimpin tertinggi Polis Negeri Kedah) dan Dr.Mahathir sendiri . Mereka inilah yang memainkan peranan utama bagi memastikan tertangkapnya Ust Ibrahim Libya pada tarikh tersebut.

Keesokannya harinya, tanggal 19 Nov 1985, selesai Solat Subuh, Ust Ibrahim terus memberikan taujihat penuh bermakna kepada para pendokong perjuangan yang terdiri dikalangan anak-anak muridnya yang setia dengan majlis-majlis ilmu beliau. Antara lain, beliau mengingatkan kepada ahli jama’ah supaya jangan ada yang lari dari perjuangan yang sedang dihadapi ini serta menyebut mengenai kelebihan mati syahid. Seluruh ahli jama’ah semakin kuat azam dan tekad untuk tidak menyerahkan Ust Ibrahim kepada pihak pemerintah. Mereka rela mati demi mempertahankan As-Syahid.

Antara mereka yang rapat dengan Ust Ibrahim ialah Sdr. Yusuf Husein dan Pak Teh Mat Piah (sudah meninggal). Mereka inilah antara yang kerap melakukan rundingan dengan pihak keselamatan pada hari tersebut agar mengelakkan berlakunya pertumahan darah khasnya orng ramai. Namun, Ust Ibrahim tegas dengan pendiriannya untuk tidak menyerahkan dirinya kepada kerajaan yang zalim kerana baginya, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan atau jenayah. Tugasnya hanya memberi nasihat kepada pemerintah yang begitu kuat menganut fahaman Nasionalisme dan Sekularisme yang bertentangan dengan Islam. 

Berita kehadiran anggota polis untuk menangkap Ust Ibrahim akhirnya berjaya dihidu oleh pasukan tentera Malaysia yang berada di Negeri Kedah. Bahkan dikalangan mereka juga terdapat anggota-anggota yang sering mengikuti pengajian-pengajian agama daripada Ust Ibrahim. Beberapa orang dikalangan mereka akhirnya bergegas ke Kg. Memali dan memberikan peringatan kepada pasukan polis agar mengelakkan serangan. Dengan bilangan mereka hanya beberapa orang membuatkan pihak polis tidak mempedulikan. Dikalangan anggota tentera ini ada yang menyebut, “ingat ! hari ini hari kamu. Boleh jadi satu masa nanti kita akan bertempur”. Lalu mereka meninggalkan tempat tersebut. 

==============================================================

MEMALI DISERANG 

Setelah dilihat Ust Ibrahim enggan lagi bertemu mereka, akhirnya orang kampung diberi arahan agar berundur ke belakang. Serangan akan dilancarkan. Namun, untuk menerima arahan tersebut tidak semudah itu. Penduduk kampung yang terdiri dikalangan orang tua, kaum ibu, pemuda, wanita dan anak kecil dengan penuh keberanian melaungkan kalimah ‘Allahu Akbar’ berkali-kali bagi menggerunkan pihak musuh. Parang panjang yang sering digunakan dikebun untuk tugasan harian, digenggam erat bagi menghadapi kemungkinan-kemungkinan. Ibu-ibu dengan parang dan buluh-buluh panjang menghalau pasukan polis. Anak-anak kecil yang masih tidak mengerti apa itu perjuangan menghadapi pasukan polis bersenjatakan parang dan pisau.

Pihak keselamatan yang panik akhirnya melepaskan gas pemedih mata dan water canon ke arah orang kampung yang kukuh berdiri tidak mahu berganjak. Seorang kanak-kanak terkena serangan tersebut lalu pengsan dengan mulutnya yang berbuih. Melihat anak kecil tersebut menjadi mangsa, lantas seorang penduduk yang dikenali dengan panggilan Cikgu Shafi’e nekad untuk melakukan serangan balas. Parang ditangan digenggam dan terus berlari ke arah anggota polis. Subhanallah. Belum sempat parangnya singgah ke tubuh anggota polis tersebut, sebutir peluru terus menembusi dadanya. Cikgu Syafi’e menjadi korban pertama tragedi tersebut.

Jerit pekik penduduk semakin kuat apabila serangan bertalu-talu dari kereta perisai polis dilakukan. Seorang demi seorang tumbang menerima hadiah peluru dari Kerajaan Barisan Nasional. Rumah Ust. Ibrahim dirempuh kasar. Akhirnya peluru menghinggapi juga tubuh ulama’, pendakwah dan pemimpin gerakan Islam ini. Diatas ribaan isterinya, beliau menghembuskan nafas. Beliau sempat bertanya, “abang kena apa?”. Si isteri menjawab, “abang ditembak”.

Menjelang waktu Zohor, hujan renyai-renyai turun membasahi Kg. Memali. Hujan rahmat yang turun sebagai saksi kezaliman pemerintah yang rakus menghadapi rakyat yang serba kekurangan. Operasi pembersihan dilakukan segera agar bau bangkai jenayah mereka dapat ditutup dari pengetahuan rakyat Malaysia. 

Mangsa yang terkorban diangkut ke dalam trak-trak polis. Didalamnya turut dimuatkan beberapa ekor anjing buat menemani para syuhada’. Ada penduduk kampung yang tercedera disepak terajang. Mereka menyebut, “ ada lagi yang belum mati”. Semua penduduk kampung disumbat ke dalam trak polis untuk dibawa ke balai. Yang cedera dibawa ke hospital. Maklumat dijaga agar tidak sampai kepada media atau orang ramai. Tahanan diugut agar merahsiakan kejadian. 

Beberapa hari kemudian barulah mereka dibebaskan. Jenazah dipulangkan semula dengan bilangan korban seramai 14 orang semuanya. Maka bermulalah perbalahan diantara pihak berkuasa agama (Majlis Fatwa Kebangsaan) dengan penduduk. Mereka mendakwa Ust Ibrahim Libya dan 13 yang lain mati sebagai Syuhada’ dan perlu diuruskan sebagai orang mati syahid. 

Pandangan ini diambil dari tuan-tuan guru di pondok-pondok Negeri Kedah yang melihat bahawa mereka ini mati kerana mempertahankan agama dan nyawa mereka. Bagi pihak berkuasa agama dibawah pemerintah, mereka terus ditekan untuk mendakwa Ust Ibrahim dan lain-lain mati sebagai Bughah (penderhaka kerajaan Islam) dan wajib diurus sebagai orang mati biasa. Penduduk tetap dengan keyakinan mereka. Akhirnya para korban diurus sebagai syuhada’ dengan tidak dimandikan beserta pakaian mereka yang masih basah dengan darah yang terus mengalir walaupun telah beberapa hari ditembak.

Sehingga hari ini, kes ini yang telah beberapa kali dibawa ke mahkamah sunyi sepi tidak berbunyi lagi. Kes yang masih berada di dalam fail mahkamah ini tidak dipedulikan oleh Menteri Penerangan Malaysia (sebelum ini) iaitu Dato’ Zainudin Maidin. Beliau memperalatkan beberapa klip video tragedi Memali ini untuk menyerang PAS sebagai gerakan ekstremis, radikal, militan dan sebagainya selepas pasca 11 Sept 2001 dengan menggambarkan orang PAS menyerang anggota keselamatan. 

Hari ini, hampir 30 tahun tragedi Memali yang meragut nyawa mereka yang tidak bersalah dan mencederakan beberapa anggota polis yang memang mereka ini tidak tahu pun tujuan sebenar dihantar ke sana pada tarikh tersebut. Mereka tidak bersalah. Bahkan seorang demi seorang orang kampong yang sepatutnya menjadi saksi dimahkamah untuk memfailkan saman kepada kerajaan Barisan Nasional kini telah menghadap Allah s.w.t.

Selepas kejadian tersebut, setiap tahun PAS mengadakan sambutan memperingati Tragedi Memali. Saban tahun juga ada sahaja anggota polis yang secara diam-diam menyalurkan sumbangan kepada PAS, kepada balu-balu syuhada’ dan memohon kemaafan atas kesilapan mereka. Melihat kepada situasi anggota polis yang sangat sedih dan terkilan dengan kejadian ini yang bukan dengan kerelaan mereka dan sangat terharu dengan sambutan memperingati syuhada’ ini , akhirnya atas nasihat dari pimpinan, sambutan yang berjalan beberapa tahun tersebut dihentikan. Wallahua’lam. 

p/s: Sejarah ini dipaparkan bukan dengan niat untuk memprovokasi mana-mana pihak, tetapi sekadar ingin mengingatkan semula generasi hari ini khasnya anak muda bahawa kebangkitan perjuangan Islam pada hari ini adalah hasil pengorbanan generasi terdahulu yang sejarahnya penuh dengan darah dan air mata. Semuanya demi melihat Islam tertegak. Mudah-mudahan sejarah ini menjadi inspirasi untuk kita terus istiqamah, sabar, dan terus berada diatas landasan ini. 

Disunting oleh:
Kelab Media Baru
Lajnah Penerangan dan Penerbitan
PMMS

Kemajuan Barat Datang Daripada Formula Islam?

Oleh: Ahmad Hakimi Othman

Barat dan eropah Maju ke arah Kebendaan dan Keduniaan Selepas mereka Membuang Agama Sesat mereka dan melakukan reformasi kehidupan dengan Memisahkan Hal Ehwal agama dan Kehidupan. Manakala Konsep konsep teori kehidupan pula diambil dari Dunia ISLAM tanpa mengambil rohnya dan Imannya.

Akhirnya, barat memperolehi kemajuan yang diinginkan dan keluar dari kepompong Politik Gereja yang Menindas dan berpindah pula kepada pertarungan Ideologi Kebendaan antara Golongan Pemodal dan Golongan Pekerja. Dalam Masa yang sama, Kekuasaan Raja Raja Barat yang masih ditiup semangat Agama menghalakan permusuhan kepada Dunia ISLAM dan menanamkan serangan serangan halus dan penjajahan kepada Dunia ISLAM untuk menghentikan kemajuan ISLAM.

Di Dunia ISLAM pula, Selepas terlalu lama menikmati tamadun dan kekuasaan yang diberi ALLAH, orang ISLAM makin melupakan jihad dan perjuangan mengurus DUNIA dengan Agama ISLAM yang disyariatkan oleh Mereka. Mereka lupa untuk meneruskan usaha usaha dakwah dan jihad generasi terdahulu. Mereka lupa bahawa Seorang tua yang juga Sahabat Nabi iaitu Abu Ayyub Al Ansari sanggup mati di perbatasanm Konstantinople ketika menjadi Tentera Kerajaan Umaiyah membawa Panji ISLAM.

Kemudian setelah gagal di timur, Musa bin Nusair meneroka Andalusia dan semenanjung Iberia sehingga Ke Perancis untuk meneroka jalan kedua Menakluk Konstantinople daripada sebelah barat. Namun kejayaan menakluk Andalus, seville dan Cordoba telah mempersonakan sebahagian umat ISLAM sehingga lupa Jalan ke Konstantinople yang diramal Oleh Nabi yang akan ditawan Oleh Seorang Pemerintah yang baik yang mempunyai Tentera yang baik.

Saat Andalus memalapkan Cahayanya, bangkit Turk Utmaniyyah membuka Jalan membuka Selat Bhosporus dan Menawan Konstantinople sehingga jatuh ke dalam Dunia ISLAM. Namun kemenangan di Timur, kekalahan pula Di barat.

Tamadun ISLAM mula malap bila lupakan akan SYIAR ISLAM dan cuba menyalin semula dari barat. Mereka tidak sedar salinan yang ada di barat adalah kemajuan DUnia tanpa Roh ISLAM yang dahulunya disalin dari dunia ISLAM.

Pusingan ini terus berjalan sampai ke hari ini. Umat ISLAM masih lagi mahu mengambil kemajuan Dunia cara barat, sedangkan pada mereka ada sumber kekuatan yang pernah dimiliki oleh Generasi Berjaya zaman dahulu iaitu Al Quran.
Al Quran ini yang memajukan dan Membangkitkan Semangat Para sahabat dan tabiin. Maka Quran ini juga sumber kekuatan hari ini.

Namun, Pemikiran umat ISLAM hari ini dihadang dengan belenggu pemikiran kononnya hari ini memerlukan pendekatan baharu. Umat hari ini tidak sama umat Zaman Nabi SAW.

Ke mana hilang rasional Mereka?

Tidakkah Mereka sedar, ketika Umat ISLAM zaman nabi bangkit, mereka hanya berbekal IMAN dan JIHAD menghadapi kekayaan dan Kemajuan ROM dan PARSI? Iman yang terhasil dan terbentuk dari panduan Quran dan pimpinan Sunnah Rasul Muhammad SAW.

Ingatlah sahabat, KEMENANGAN hanya dengan Kembali Menterjemahkan Quran sepertimana Generasi Awal menerjemahkannya!!!!

Disunting oleh:
Kelab Media Baru
Lajnah Penerangan dan Penerbitan
PMMS

Wednesday 24 June 2015

Sejarah Ketamadunan Islam (Siri 2)

Tentera Talut Dengan Ujian Sungai: Antara Golongan Maadiyyah dan Ghaibiyyah.

Oleh: Zaharudin Muhammad.

Semalam saya telah coretkan tentang golongan Maadiyyah dan Ghaibiyyah. Hari ini saya ingin panjangkan tentang kisah kumpulan Maadiyyah dan Ghaibiyyah di dalam tentera talut. Mereka mempunyai matlamat yang sama, iaitu menentang tentera Jalut yang jahat dan zalim tetapi methodology fikir mereka berbeza.

Di dalam surah Al-Baqarah, ayat 249 menceritakan kisah ini dengan firmannya bermaksud: "Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar".

Kedua-dua kumpulan Maadiyyah dan Ghaibiyyah ini mempunyai matlamat yang sama, iaitu menentang tentera Jalut yang zalim. Golongan Maadiyyah mengukur arahan 'jangan minum air' ini dengan 'cara untuk mencapai matlamat'. Secara faktanya, berperang memerlukan tenaga yang kuat. Tidak meminum air di panas terik boleh menyebabkan badan lemah, lesu dan tidak bermaya. Jika ini berlaku, mereka tidak mampu menempuh peperangan yang besar dan berhadapan dengan tentera Jalut yang besar, kuat dan berpengalaman. Bagi mencapai matlamat kemenangan, maka arahan Allah supaya jangan minum air itu diabaikan. Bukan kerana derhaka kepada perintah Allah, tetapi mencapai kemenangan itu adalah matlamat paling besar dan utama. Matlamat yang besar dan utama ini pada fikiran mereka membolehkan mereka mengabaikan perintah 'jangan minum air'. Dengan bahasa lain, matlamat menghalalkan cara, justeru matlamat dan cara diukur dengan neraca maadiyyah.

Dalam masa yagn sama, di sana terdapat segolongan yang beriman serta berilmu, mereka tetap menjunjung perintah Allah swt untuk tidak meminum air melainkan semaksimum setapak tangan sahaja, bukan sampai puas. Mereka akur bahawa pada faktanya, jika tidak minum akan menyebabkan kelesuan dan lemah untuk mengharungi peperangan yang besar, tetapi perintah Allah swt itu lebih penting dan besar. Secara iman dan keyakinan, mereka tidak akan disia-siakan dengan kekalahan jika mereka menurut perintah Allah swt sekalipun pada zahirnya jika menurut perintahnya, seolah-olah mereka akan kalah. Tetapi mereka lebih percaya kepada yang Ghaib yagn dijanjikan oleh Allah swt berbanding percaya dengan maadiyyah, iaitu fakta bahawa tidak minum air akan lemah seterusnya menyebabkan mereka akan kalah. Bagaimana mereka boleh menang? Itu kerja Allah, bukan kerja mereka. Kerja mereka merancang menurut batasan syarak. Mereka faham itu.

Akibat ujian ini, dariapda 80,000 bala tentera Talut, yang meminum air sungai seramai 74,000 dan yang menurut perintah Allah SWT hanya seramai 6,000 sahaja. Tak sampai 10% yang tinggal daripada keseluruhan tentera Bani Israel. Kehilangn lebih 90% tentera bukan kehendak Talut, bukan kehendak Nabi Syam'un dan bukan kehendak Nabi Daud (bersama-sama dalam tentera ini tetapi pada masa itu beliau belum diangkat menjadi rasul). Ini semua adalah ujian daripada Allah swt. Sebab itu ayat itu menyebut: Allah menguji dengan sungai (إن الله مبتليكم بنهر).

Golongan Al-Ghaibiyyah yang sedikit tetapi yakin dan percaya kepada janji Allah meneruskan perjalanan untuk berjihad menentang Tentera Jabbaarin yagn dipimpin oleh Jalut. Dua kumpulan yang tidak seimbang, tentera Jalut mempunyai bilangan hampir 100,000 bala tentera (menurut sebahagian riwayat) ditentang oleh tentera Talut yang hanya berbaki 6,000 bala tentera. Bukan setakat 6,000 bala tentera menentang hampir 100,000, tetapi tentera Talut tidak berpengalaman kerana mereka kebanyakan para petani dan tok lebai berbanding dengan tentera Jalut yang berpengalaman lama dan luas dalam bidang peperangan. Maadiyyahnya (fakta, statistik, figure dan lain-lainnya) menunjukkan mustahil mereka boleh menang. Pun begitu, keyakinan kepada janji Ghaib bahawa Allah bersama golongan yang benar dan sabar itu dipahat di dalam sanubari mereka. Dalam keadaan maadiyyahnya tipis untuk mereka menang, tetapi dengan semangat dan keyakinan yang tinggi mereka melaungkan: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar".

Akhirnya, 6,000 golongan yang beriman ini diberikan kemenganan oleh Allah swt bukan dengan fakta, angka dan statistik, tetapi kemengan ini adalah kemengan dengan izin Allah swt, iaitu kemengan dengan izin ini akan melangkaui statistik, fakta dan angka. Firman Allah swt: "Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah" - Al-Baqarah: 251).

Sebab itu, kita yakin dan percaya kepada janji Allah bahawa izzah dan kekuatan Islam tidak bergantung kepada sokongan bukan Islam. Tetapi Allah yang memberikan izzah dan kekuatan kepada kita dengan akhirnya bukan islam akan bersama-sama memberikan sokongan kepada kita. Dua perkara yang berbeza. Firman Allah swt bermaksud: (Orang munafik ialah) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya). Itulah perkara ghaib yang kita yakini.

Sekian.

Disunting oleh:
Lajnah Penerangan dan Penerbitan
PMMS

Sejarah Ketamadunan Islam (Siri 1)

PERTEMBUNGAN ANTARA GOLONGAN Al-MAADIYYAH DAN AL-GHAIBIYYAH.

Oleh: Zaharudin Muhammad.

Pada awal-awal surah Al-Quran, disebutkan sifat orang yang beriman ialah mereka percaya kepada perkara Ghaib, iaitu perkara yang diceritakan, dijanjikan dan ancaman oleh Al-Quran sekalipun ia tidak dapat dilihat oleh pancaindera. Lawannya ialah golongan yang percaya kepada Al-Maadiyyah, iaitu golongan yang hanya percaya kepada perkara-perkara yang dapat dilihat dan dirasai oleh pancaindera; dapat dilihat dengan mata, dilihat dengan akal, dihitung dengan logik, dirasa dengan anggota badan, didengar dengan telinga dan deria-deria lain.

Dengan kata lain, golongan beriman kadangkala mereka menerima bulat-bulat apa yang diceritakan, diberitahu dan dijanjikan Al-Quran dan As-Sunnah. Syurga, neraka, dosa, pahala dan lain-lain sekalipun mereka tidak melihatnya.

Tetapi golongan yang Al-Maadiyyah ini mereka hanya percaya kepada sesuatu yang hanya dapat dirasai dan dilihat oleh pancaindera. Sebab itu Bani Israel pernah meletakkan syarat untuk beriman hanya apabila melihat Allah di hadapan mata (An-Nisa': 153). Ada di kalangan mereka yang mahu beriman hanya apabila mereka dapat melihat kitab itu turun daripada langit.

Begitulah pertembungan antara dan iman di mana orang yagn beriman mereka menggunakan akal untuk memahami nas dan arahan ilahi, seterusnya meyakininya sekalipun pemberitahuan nas itu tidak masuk akal. Tetapi golongan Al-Maadiyyah, sekalipun nasnya jelas, tetapi mereka akan menggunakan akalnya itu bukan untuk memahami nas, tetapi untuk melihat nas itu dari segi kacamata Maadiyyah, jika dilihat selari dengan data, fakta, akal dan logik, maka mereka akan menerimanya. Dari segi lain, ini dinamakan sebagai Baik Buruk Diukur dengan Akal (التحسين والتقبيح العقليان) yang dipegang oleh Muktazilah.

Itu contoh yang basic apabila kita mempelajari syariat berkenaan sifat-sifat kita mukmin terhadap perkara ghaib. Tetapi di sini suka untuk saya 2 bentuk contoh, contoh ekonomi, perundangan dan haraki.

Contoh ekonomi, di zaman umar bin Abdul Aziz naik menjadi Khalifah, dasar penghapusan cukai yang tiada nas telah ditentang oleh Gabenor Mesir. Beliau memberikan alasan, jika cukai itu dihapuskan, duit negara akan susut dan bagaimana mereka boleh mentadbir dalam keadaan begitu. Gabenor tersebut bercakap berdasarkan fakta dan angka justeru itulah financial statement negara sejak daripada zaman Hajjaj bin Yusof As-Saqafi. Saidina umar membalas surat gabenor tersebut bukan dengan fakta, data dan angka, tetapi ia membalas dengan hujah iman. Beliau menulis: sesungguhnya Nabi Muhammad diutuskan untuk berdakwah, bukan untuk mengutip cukai. Berlaku adillah kamu (dengan menghapuskan semua cukai-cukai itu atau (jika tidak) aku akan pecat kamu. (إنما بعث محمد داعيا وليس جابيا، اعزل أو اعتزل). Result realitinya selepas penghapusan cukai itu, harta negara melimpah tidak sampai setahun selepas perlaksanaannya.

Contoh perundangan, dalam hukuman Qisas Allah menjanjikan perlaksanaannya akan menjamin kehidupan . (Al-Baqarah: 179). Logiknya, jika dilaksanakan hukuman ini maka bertambah orang yang mati justeru pesalah dijatuhkan hukuman bunuh. Statistik pembunuhan yang tinggi dan pesalah yang ramai sepatutnya akan lebih ramai yang mati apabila hukuman itu dilaksanakan. Tetapi realitinya, apabila dilaksanakan, kematian berkurangan disebabkan penjahat tidak berani membunuh musuh atau mangsa mereka. Sebab itu sejarah islam mencatatkan, selepas dilaksanakan hukuman Islam, statistik jenayah turun mengejut bahkan jenayah yagn berlaku boleh dibilang dan dihitung dengan jari.

Dari segi politik, Bani Israel di dalam kisah peperangan antara Jalut dan Talut, ujian dengan air sungai menyebabkan tentera Talut seramai 80 ribu hanya berbaki seramai 6 ribu sahaja akibat ujian tersebut. Logiknya, bagaimana baki 6 ribu boleh berhadapan dengan tentera Jalut yang berlipat kali ganda bilangan tentera dan senjata mereka? Akalnya mustahil mereka boleh menang. Tetapi yang sedikit ini tidak berundur sebab mereka yakin dan mengulang-ulang janji Allah "Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar". - (Al-Baqarah: 249). Realiti akhir, mereka yang sedikit ini dapat kalahkan Jalut yang besar, kuat dan ramai.

Di sana terlalu banyak contoh-contoh pertembungan antara golongan Al-Maadiyyah dan Al-Ghaibiyyah.

Dalam kehidupan hari ini, kita kadang-kadang terlalu ghairah dengan data dan fakta sehingga kita lupa beberapa perkara asas dan penting yang berupa pesanan Al-Quran. Data dah fakta penting, tetapi kedudukan selepas Al-Quran dan As-Sunnah.

Sekalipun data dan fakta serta culaan menunjukkan kita akan kalah dengan pendekatan politik Islam serta dakwah, pun begitu kita tetap akan meneruskan pendekatan politik dakwah ini (politik adalah alat dakwah) hatta sekalipun data, statistik, survey dan lain-lain menunjukkan kita akan kalah atau hancur lebur. Kerana kita yakin Allah yang menjaga agama dan kumpulannya yang mempertahankan agama. Memang mungkin Al-Maadiyyah (data dan fakta) tidak menyokong, tetapi kita adalah kumpulan yang percaya kepada perkara ghaib yang dijanjikan oleh nabi SAW: 
لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق لا يضرهم من خذلهم حتى يأتي أمر الله وهم كذلك
Maksudnya: Sentiasa ada di kalangan umatkua satu kumpulan yang mengzahirkan (mempertahankan) kebenaran. Golongan yang menentang tidak memberikan kemudaratan kepada mereka sehigga datangnya kemenangan daripada Allah dan mereka dalam keadaan demikian (mempertahankan kebenaran).

Janji nabi ini kita pegang sekalipun bercanggah dengan data, fakta, statistik dan segala bentuk Al-Maadiyyah yang lain. Mereka yang menentang biarkan mereka terus menentang kerana inilah realiti dunia dan kita sekarang bukan berada di dalam syurga.

Janji dariapda nas bahawa kumpulan yang terus memperkatakan kebenaran ini akan kekal dan hidup (tidak mati) sehingga sampai masa ia akan menang. Memang kita semaksimum mungkin ingin meramaikan orang bersama kita. tetapi di sana ada ingatan daripada nas yang menyatakan bahawa: Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. - (Al-Maidah: 48).

Maka kita yang percaya kepada Al-Ghaibiyyah ini yakin dan percaya sepenuhnya bahawa kapal kita tidak akan karam atau lenyap selama mana kita pertahanan dan julang kebenaran Islam. Itu perkara ghaib yang dijanjikan oleh nas sekalipun data, fakta dan statistik Al-Maadiyyah menunjukkan sebaliknya. yang kita bimbang ialah kita dan sahabat-sahabat kita lenyap daripada persada selepas kita berubah daripada beriman kepada Al-Ghaibiyyah kepada beriman kepada Al-Maadiyyah.

Ingatan ini untuk diri saya dan semua teman-teman seperjuangan.

Sekian.

Penyunting:
Lajnah Penerangan dan Penerbitan
PMMS

Tuesday 23 June 2015

Konspirasi Musuh Terhadap Islam

RISALATUL-IKHWAN,

Bil. 27 (Jumaat 15 Ramadhan 1417) (Keluaran Khas Berhubung Sudan)

Dari pena Mustafa Masyhur.

KONSPIRASI MUSUH TERHADAP ISLAM

 Betapa kita memerlukan satu pandangan antarabangsa yang bersifat futuristik dan realistik, jauh dari pandangan samar serta juzi (compartmentalised) untuk melihat hakikat di sebalik konspirasi dunia terhadap Islam dan Muslimin, yang disertai oleh kebanyakan negara-negara bukan Islam. Penggerak dan penyokongnya iaitu musuh zionis adalah sekeras-keras manusia yang memusuhi orang-orang yang beriman ..... Sesungguhnya mereka telah merancang konsiprasi ini sejak dahulu lagi dan mereka telah merealisasikan beberapa natijah di antara matlamat besar mereka.

Di antaranya:
~Menjatuhkan Khilafah Othmaniah;
~Menanam kewujudan zionis di hati (pusat) umat Islam di Palestin;
~Membangkitkan permusuhan yang mencetus peperangan Iraq dan Iran;
~Pembinasaan Iraq terhadap Kuwait;
~Musuh zionis juga menguasai pemerintah-pemerintah Eriteria dan Ethopia,
~Membantu kumpulan pemisah di selatan Sudan untuk menyempurnakan pemisahan dengan utara,
~Mengambil hukum sendiri dalam permasalahan punca Sungai Nil;
~Mengambil hukum sendiri dalam menyempitkan pintu al Mandab dari jalan Eriteria dan Jazar Hanish.

Di antara hasil konspirasi dunia menentang Islam dan Muslimin ini adalah menyebarkan terrorism dengan pembunuhan di beberapa negara Arab dan Islam di bawah banner Islam untuk menggambarkan Islam adalah agama terrorism dan kekerasan. Tohmahan ini telah diperkuatkan lagi oleh media massa barat sedangkan Islam sebenarnya adalah suci daripada tohmahan-tohmahan ini, serta tidak mengiktiraf peristiwa-peristiwa kekerasan, penyembelihan dan pembunuhan yang berlaku di Mesir dan Algeria. Tetapi pemburukan ini bermaksud untuk memberontak dan merupakan satu tipu daya terhadap setiap negara ataupun kumpulan yang membawa bendera Islam.

Sesungguhnya musuh telah menggunakan kelemahan orang-orang Islam dan tiadanya kesatuan di kalangan mereka untuk memberikan berbagai pukulan di segenap penjuru terhadap orang-orang Islam di dalam usaha menghapuskan mereka ataupun memecahkan kekuatan mereka, seperti yang berlaku di Bosnia, Chechenia, Kashmir dll. Tetapi orang-orang Islam telah bertahan, contohnya sekatan ekonomi terhadap beberapa negara Arab Islam seperti Iraq, Libya, Sudan dan Iran. Kemudian mereka cuba untuk menguasai ekonomi di pasaran Timur Tengah terhadap negara-negara setempat. Mereka juga membenarkan musuh zionis memiliki senjata nuklear sedangkan ianya diharamkan ke atas negara-negara Arab dan Islam. Begitu juga penguasaan politik terhadap kebanyakan negara-negara pengeluar minyak, di mana penetapan permuafakatan dengan mereka telah mengizinkan kewujudan askar asing di sana supaya petroleum di Teluk sentiasa mengalir ke Barat.

Begitulah kita mendapati perancangan yang keji untuk konspirasi ini merebak ke medan antarabangsa untuk menentang negara-negara Arab dan Islam, terutamanya selepas hancurnya sosialism. Di sana terdapat suatu pemusatan terhadap Mesir dan tekanan ke atasnya kerana kedudukannya di dunia Islam. Adapun konspirasi itu melalui peperangan pada tahun 1967 dan apa yang didapati daripadanya iaitu penjajahan beberapa bahagian daripada negara-negara Arab di sekitar Palestin. Kemudian konspirasi itu berlaku melalui pengiktirafan Mesir terhadap kewujudan zionis perampas dan keluarnya Mesir daripada perlumbaan (peperangan) dengan Musuh, kerana keamanan besar yang diberikan kepadanya. Maka lemahlah negara-negara Arab yang lain terutamanya negara-negara yang berjiran dan negara-negara yang Musuh telah membinasakan buminya, serta Musuh masih enggan untuk keluar daripadanya. Begitu juga, konspirasi itu merangkumi pemisahan Mesir daripada Sudan, percubaan memisahkan utara Sudan daripada selatannya dan pemberontakan John Garang serta pemberian senjata kepadanya untuk memerangi kerajaan Sudan.

Peperangan di Sudan

Peristiwa-peristiwa mutakhir yang berlaku di bumi Sudan selepas larinya Syed Sodiq al Mahdi ke Eriteria, dan percubaan Garang serta sekutu-sekutunya untuk bekerjasama dengan kumpulan yang menentang kerajaan Sudan bagi menjatuhkan dan membahagi-bahagikan(memecahkan) Sudan. Sejurus itu bermula pula pergerakan tentera dari Eriteria dan Ethopia serta pencerobohan beberapa bandar-bandar di Sudan. Berikutan daripada itu kerajaan Sudan telah mengisytiharkan perintah bersiap sedia untuk pencerobohan tersebut.

Maklumat-maklumat menunjukkan terdapat penglibatan kekuatan ketenteraan Ethiopia dan Eriteria di dalam peperangan ini. Sehubungan dengan itu juga maklumat telah menguatkan bahawa pertikaian tentang air yang bersambung ke Mesir merupakan matlamat di belakang pertikaian ini, terutamanya sebagaimana yang telah diketahui bahawa krisis air ataupun peperangan air memang dijangka akan berlaku di beberapa tahun yang akan datang. Mungkin penaklukkan selatan Sudan dan meletakkannya di bawah penguasaan zionis melalui Garang untuk menekan Mesir supaya menyambung air sungai Nil ke kedudukan zionis di celah-celah pertikaian tentang sumber-sumber sungai Nil. Begitu juga Uganda membantu kekuatan pemisahan Garang yang bekerja untuk kepentingan Musuh semenjak dari dari kerajaan al Basheir lagi, dan ia merupakan satu langkah menentang Sudan dan Mesir sejak dahulu lagi.

Oleh itu, sepatutnya hendaklah setiap pencerobohan ketenteraan ke atas Sudan juga merupakan suatu pencerobohan ke atas Mesir, dan wajiblah ke atas Mesir untuk menentang dan menghalang pencerobohan ini. Sekiranya tidak, niscaya akan berlaku perkara yang tidak baik. Malah ia memungkinkan pemberhentian perancangan memperluaskan pertanian di Mesir seperti di Wadi al Jadib dsb. Bahkan ia juga mungkin menyebabkan berlakunya sekatan air dari memenuhi keperluan pertanian semasa.

Adapun pendirian yang perlu diambil adalah serius dan kritikal. Sesungguhnya naib presiden Sudan telah datang untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa di Mesir tentang betapa kritikalnya keadaan dan meminta bantuan.

Kami percaya bahawa kepentingan Mesir mewajibkan bantuan kepada kerajaan Sudan sehingga dia tidak lemah dari angkara Garang, yang sekiranya tidak mungkin akan terlaksanalah pemecahan Sudan. Meskipun hubungan antara Mesir dan Sudan adalah kurang baik terutamanya selepas tohmahan bahawa Sudan terlibat di dalam peristiwa percubaan menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak, (namun itu adalah satu konspirasi jenayah yang ditolak dengan mana-mana neracapun), namun satu tindakan perlu diambil kerana konspirasi ini akan membawa implikasi yang lebih buruk dan bahaya, sekiranya tidak diberikan bantuan. Dan konspirasi ini juga adalah bertujuan untuk memecahkan Sudan dan ia juga untuk menghalang Mesir daripada mempertingkatkan sumber kehidupannya. Begitu juga kehadiran naib Presiden Sudan telah membuka jalan untuk mengembalikan hubungan Mesir dengan Sudan serta memperbaiki beberapa perkara yang diperselisihkan daripadanya, serta membaikpulih hubungan selaras apabila niat telah diperbetulkan. Bahawasanya, inilah permintaan rakyat Mesir dan Sudan. Oleh itu hendaklah kedua-dua pihak berkuasa bersumberkan daripada apa yang dikehendaki oleh rakyat mereka. Bahkan adalah menjadi satu harapan yang besar untuk membakarkan (melenyapkan) konspirasi ini yang telah berlaku semenjak begitu lama dan semoga bersatulah Mesir dan Sudan dalam satu barisan sebagaimana yang telah kita laungkan semasa mengadakan tunjuk perasaan kita di zaman pelajar dahulu. Sememangnyalah setiap gerakan kesatuan-kesatuan lahir daripada kedudukan geografi dari kedudukan kedua-dua bangsa (negara) ini, dan justeru itu kedudukan kedua-dua buah negara yang strategik ini sememangnya saling gantung bergantungan di antara satu sama lain.

Apa Yang diTuntut Daripada Muslimin

Pemerintah negara Arab dan Islam hendaklah memberi perhatian terhadap konspirasi dunia serta perancangan yang keji menentang Islam dan Arab ini. Dan hendaklah ia melihat kepada perkara ini dengan pandangan yang serius yakni berpadanan dengan kadar bahaya yang mungkin berlaku sekiranya orang Arab dan orang Islam tidak menyedari perkara tersebut sebelum berlalunya waktu. Terutamanya musuh telah berjaya menyibukkan kita dengan diri sendiri serta perselisihan sesama sendiri sehingga sempurna onspirasi mereka supaya sukarlah untuk memperbaiki kerosakan yang telah mereka lakukan.

Kita hendaklah bersatu serta menghapuskan perselisihan juz'i yang wujud di antara kita untuk menghadapi bahaya yang tidak semena-mena ini. Hendaklah negara-negara kita menyokong kecintaan bangsa kita terhadap Islam. Serta, hendaklah kita menyandarkan perlindungan kepada Allah dan memohon pertolongan daripadaNya subhanahu wataala, sesungguhnya Dialah yang Maha Berkuasa keatas hamba hambaNya dan Penolong orang-orang beriman serta Penunduk golongan mustakbirin (bongkak).

Orang-orang Arab dan Islam wajarlah mengetahui bahawa jika sekiranya Garang menguasai sebahagian daripada Utara Sudan, terutamanya Kolam Nil Biru dan memisahkannya (dari Sudan), kemudian negara-negara lain mengiktiraf (negara tersebut), sukarlah untuk mengembalikannya semula (kepada Sudan) sebagaimana yang telah berlaku dan masih berlaku di Palestin serta pengiktirafan beberapa negara terhadap pencerobohan zionis tersebut.

Sesungguhnya kami menyeru kerajaan Mesir supaya tidak berpendirian berpeluk tubuh di hadapan malapetaka ini. Bahaya ini begitu jelas, malapetaka ini terlalu besar, peristiwa-peristiwa berlaku begitu pantas sekali, dan kekuatan penganiayaan ini memburu kita dari segenap penjuru. Hendaklah kita saling melupakan apa yang telah berlaku di antara kita dan kerajaan Sudan. Sesungguhnya Mesir mempertahankan buminya dan airnya melalui pembelaan Sudan dan masa depan bangsanya sekiranya selesai penetapan hukum dalam urusan air sungai Nil..

Alangkah baiknya bagi muslimin, pemerintah atau pun orang yang diperintah, di hari hari dan malam Ramadhan yang diberkati untuk mengingati apa yang telah Allah buktikan daripada kemenangan yang di capai (oleh umat Islam) di dalam bulan ini pada masa yang lalu. Nescaya ini akan menimbulkan harapan di jiwa mereka, lalu mereka menyandarkan perlindungan kepada Allah serta memohon pertolongan daripadaNya untuk menghadapi musuh. Mereka juga akan mempersiapkan diri mereka dengan apa yang termampu dari kelengkapan dan kekuatan untuk menghadapi konspirasi dan bahaya yang besar ini. Dan Allah lah sebaik-baik Pelindung dan Penolong.

Di antara apa yang memberi harapan yang besar (kepada kita) adalah lahirnya kebangkitan Islam semasa, meskipun wujudnya berbagai konspirasi yang berterusan semenjak berabad-abad yang lalu lagi... mudah-mudahan berterusan, Ya Allah, saksikanlah!

Persetujuan al Khalil

Sesungguhnya apa yang dipanggil sebagai penyelesaian kepada krisis pemulangan penempatan di al Khalil, setelah sempurnanya persetujuan keatasnya dan orang-orang Palestin di al Khalil memuji-muji (persetujuan tersebut), mengandungi beberapa perkara yang sungguh merbahaya. Adapun pembahagian bandar tersebut, sedangkan sebelum ini musuh sendiri mengakui bahawa ianya adalah bandar orang Arab, serta perletakan Masjid Ibrahim di bawah pengawalan Israil, dan penolakan Netanhayu terhadap kerjasama orang-orang Palestin untuk mengawal Masjid itu kecuali beberapa kerat dari polis Palestin yang bersenjatakan pistol di dalam kereta-kereta Israil yang meronda kawasan tersebut untuk melindungi golongan penempatan... Kemudian, musuh mewajibkan keatas orang-orang Palestin untuk berjanji untuk menyerahkan anasir anasir Islam yang menentangnya untuk dibawa ke mahkamah zionis. Begitulah, persetujuan tersebut akirnya erjaya merungkaikan ikatan-ikatan "ketanahairan" palestin serta menguatkan kerjasama damai di antara kedua-dua kekuatan Israil dan Palestin, dan (ia juga merupakan suatu) perjanjian untuk menghancurkan binaan dasar terhadap Gerakan Penentangan Islam yang menentang zionis secara seluruhannya. Sebagai balasan, musuh mencari-cari titik-titik yang belum di sempurnakan oleh perjanjian... ya'ni, apa sahaja peristiwa yang berlaku (yang mempunyai kesan penentangan terhadap musuh, dikira membatalkan perjanjian, lalu, perkara tersebut seolah-olah masih tergantung atau tidak putus... Begitulah, kita mendapati musuh tidak memberi kata putus dan meninggalkan urusan tergantung kepada berlakunya sebarang peristiwa (penentangan). Sedangkan, penentangan tidak akan berhenti selagimana wujudnya kedua-dua pihak, zionis dan barisan penentangan Islam. Di dalam suasana penyempurnaan perjanjian ini, meskipun keji, tidaklah dilupakan permasalahan al Quds dan Masjid al Aqsa, kerana akan turut dilupai ribuan tahanan di penjara-penjara musuh dan jutaan lagi pelarian di luar Palestin!.

 "Hendaklah kita tidak tertipu dengan apa yang telah berlaku, terutamanya kerana musuh masih berpegang dengan matlamat akhir mereka iaitu: "Israil al kubra dari Nil ke Furat"!!!

Dikeluar oleh:
Lajnah Penerangan dan Penerbitan PMMS
#KelabMediaBaru

Monday 22 June 2015

Puasa BAB 5

Catitan Bab Puasa 5 (Muzakarah)

Dan fardhu-fardhu (rukun-rukun) puasa itu 3 perkara:

1-Niat (1)
2-Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa.
3-Orang yang berpuasa

(1)iaitu wajib niat seorang itu dengan hatinya akan puasa ramadhan.Adapun berlafaz niat dengan lidah itu maka sunut hukumnya dalam mazhab al-syafie supaya membantu oleh berlafaz dengan lidah itu akan hati.

*Wajib Niat Setiap Malam:

-Dan wajib berniat puasa setiap hari pada bulan ramadhan (yakni pada waktu malam iaitu waktu diantara terbenam matahari dan terbit fajar) kerana puasa tiap-tiap hari itu dikira sebagai ibadah yang terasing kerana diselangi oleh perkara yang membatalkan puasa daripada makan dan minum dan selainnya.Dan bandingannya seperti 2 solat yang dikerjakan yang diselangi antara solat yang pertama dan yang kedua itu dengan salam.

Contoh:Puasa hari ini dengan puasa hari esok.Jadi puasa hari ini akan berakhir dengan puasa hari esok dengan berbuka apabila terbenam matahari.Maka puasa hari ini diselangi dengan puasa hari esok dengan berbuka.Jadi puasa hari ini merupakan satu ibadat dan puasa hari esok merupakan satu ibadat lain pula.Oleh kerana itu,setiap hari puasa itu berhajat kepada niat yang tersendiri dan tidak memada berniat puasa sebulan.

*Kepentingan Niat Sebulan Pada Malam Pertama Ramadhan:

-Disisi Imam Malik رحمه الله memada oleh niat sebulan ramadhan pada malam pertama ramadhan.

-Dan boleh bahawa taqlid seorang itu akan mazhab Malik pada masalah niat dengan bahawa niat ia sebulan penuh ramadhan supaya hasil puasa bagi hari yang terlupa ia niat pada hari itu.

-Dan wajib niat tiap-tiap malam itu kerana sabda Nabi صلى الله عليه وسلم:

من لم يبيت النية قبل الفجر فلا صيام له....الحديث........رواه النسائي والدارمي

Maksudnya:Barangsiapa yang tidak memalamkan niat sebelum fajar maka tiadalah puasa baginya.

Adapun hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim رحمه لله:

عن عائشة أم المؤمنين قالت:دخل علي النبي صلى الله عليه وسلم ذات يوم فقال:هل عندكم شيء؟ فقلنا:لا.قال: فإني إذن صائم.ثم أتانا يوما آخر فقلنا يا رسول الله أهدي لنا حيس.فقال: أرنيه.فلقد أصبحت صائما، فأكل.

Maksudnya:Daripada Aisyah رضي الله عنها berkata ia:telah masuk kepadaku oleh Nabi صلى الله عليه وسلم pada suatu hari maka berkata(bertanya) ia:adakah di sisi kamu sesuatu (daripada makanan)?Maka berkata kami(Aisyah رضي الله عنها) :Tiada..(kemudian) berkata nabi صلى الله عليه وسلم:maka aku berpuasa.Kemudian telah datang Nabi صلى الله عليه وسلم akan kami pada hari yang lain, maka berkata kami kepadanya:wahai rasulullah dihadiahkan kepada kita حيس (sejenis manisan daripada buah tamar),maka berkata Nabi صلى الله عليه وسلم tunjukkanku akannya (yakni berikanku akannya untuk dimakan).maka sungguh telah berpagi aku dalam keadaan berpuasa.(Berkata Aisyah رضي الله عنها):maka telah makan ia(yakni nabi صلى الله عليه وسلم akannya).

Maka ditanggungkan hadis ini atas puasa sunat dengan makna tidak diwajibkan bermalamkan niat bagi puasa sunat.Adapun puasa wajib maka wajib bermalamkan niat kerana ditanggung hadis yang pertama atas puasa wajib samaada puasa ramadhan,nazar atau kaffarah.

Wallahua'lam...

Catitan daripada kitab:
-Hasyiah Baijuri a'la syarah Ibnu Qosim
-Sabil al-muhtadin karya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari رحمه الل
-Safinatunnaja

Saturday 20 June 2015

Kalam Presiden PMMS (Ramadhan Kareem)

Kalam Presiden PMMS.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته. 
Pertama nya marilah kita bersyukur kepada Allah Swt setinggi tinggi kesyukuran kerana menyempatkan lagi kita untuk merasai bulan ramadhan pada tahun ini. 
1ramadhan1436hijr. bersamaan 18jun 2015.

Di kesempatan itu marilah kita sama2 mengambil peluang juga manfaat di madrasah ramadhan ini dengan melakukan segala kerja amal soleh untuk menjadikan ia sebagai bekalan di akhirat kelak selanjutnya memuslehkan diri kita untuk istiqamah dalam beramal. 

Saat lisan tak terjaga, ada yang terluka.. 
saat khilaf nodai jiwa,ada yang tersakiti.. 
saat ramadhan mengunjung tiba..
kumuhon maaf sucikan jiwa. 

juga 

Panas terik lazimnya Sudan, 
Muwasalat reksya tiada berpisahan, 
Ramadhan tiba undangan ar Rahman. 
Istiqamah amalan mendapat ganjaran. 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ، وَمَرَدَةُ الجِنِّ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، فَلَمْ يُفْتَحْ

مِنْهَا بَابٌ، وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الجَنَّةِ، فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ، وَيُنَادِي مُنَادٍ: يَا بَاغِيَ الخَيْرِ أَقْبِلْ، وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ، وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنَ النَّارِ، وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ " وَفِي البَابِ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ، وَابْنِ مَسْعُودٍ، وَسَلْمَانَ
Selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak kepada semua ahli pmms sudan juga semua muslimin muslimat . semoga amalan soleh kita diterima dan mendapat redhanya Allah azza wajalla. 

Beristiqomah sehingga kemenangan.

Puasa BAB 4

Catitan Bab Puasa 4 (muzakarah)

Syarat-syarat wajib puasa itu 4 perkara:

1-Islam(1)
2-Sampai umur(2)
3-Akal(3)
4-Kuasa/Mampu atas puasa(4)

(1)Maka tidak wajib puasa atas kafir asli sebagai wajib tuntut(yakni tidak ditekan dan disuruh mereka itu dengan puasa seperti halnya orang muslim).Adapun azab seksa di akhirat maka diazab seksa mereka itu orang-orang kafir kerana meninggal buat akan furu' agama..

-Adapun murtad maka dituntut mereka itu akan puasa kerana ditilik pada asalnya iaitu islam..maka disuruh ia dengan masuk islam semula dan berpuasa kerana tidak soh puasanya sekira puasa ia dalam keadaan murtad..

(2)Sama ada sampai umur itu dengan sempurna umur 15 tahun(mengikut tahun hijrah) atau dengan sebab keluar mani kemudian daripada umur 9 tahun atau dengan sebab datang haid(ini khusus bagi wanita).

-maka tiada wajib puasa atas kanak-kanak.

(3)Apabila jadi gila seorang yang berpuasa walaupun seketika,maka batal puasanya.

-Adapun orang yang pengsan dan orang yang mabuk maka tidak menjadi mudarat puasa kedua-duanya kecuali apabila berlaku pengsan dan mabuk itu sepanjang siang hari.

contoh:Ali jatuh pengsan atau mabuk 5 minit sebelum subuh dan ia sedar daripada pengsan atau mabuknya itu selepas daripada terbenam matahari,jadi pengsan atau mabuk ali berlaku di sepanjang siang hari,maka tidak soh puasanya.

-Adapun jika sedar ali daripada pengsan atau mabuknya di siang hari walaupun hanya seketika,maka soh puasanya.

(4)iaitu mampu berpuasa dari segi jasad dan syarak.

-Maka tiada wajib puasa atas orang yang tidak mampu berpuasa disebabkan sakit yang tiada harapan sembuh atau terlalu tua(ini dari segi jasad).Begitu juga tidak wajib puasa atas perempuan yang dalam keadaan haid ,nifas dan seumpamanya( ini dari segi syarak).

Wallahua'lam...

Bersambung insyaallah....

Catitan daripada kitab:
-Hasyiah Baijuri a'la Syarah Ibnu Qosim
-Sabil al-muhtadin karya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari رحمه الله

Puasa BAB 3

Catitan Bab Puasa 3 (Muzakarah)

*Makna Puasa

-kalimah (صوم) dan (صيام) kedua-dua ini merupakan masdar bagi kalimah صام- يصوم

Maknanya dari sudut bahasa adalah ‘إمساك’ artinya menahan,walaupun menahan itu umpama bercakap seperti firman Allah taala sebagai menghikayat perkataan Maryam as:

إني نذرت للرحمان صوما...(مريم:26)...أي:إمساكا عن الكلام..

Maksudnya: bahawa aku telah bernazar kepada Ar-rahman(Allah swt) akan puasa..iaitu menahan daripada berkata-berkata/bercakap.

-Adapun maknanya dari sudut syarak iaitu menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa dengan niat yang tertentu bermula daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari.

“menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa” iaitu seperti memasukkan sesuatu di dalam rongga yang berlubang,sengaja muntah,jimak,dan sebagainya.

“dengan niat yang tertentu” iaitu bahawa berniat seorang itu akan puasa ramadhan..

-Dalam masalah niat di dalam mazhab syafie, wajib diniatkan puasa ramadhan itu tiap-tiap malam iaitu waktunya bermula daripada terbenam matahari hingga terbit fajar.Jadi barangsiapa yang terlupa niat,maka tiada puasa baginya(tidak dikira puasanya) tetapi wajib imsak (menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa) dan qadho puasa itu.

*Contoh Niat:

-Sekurang-kurang niat puasa ramadhan bahawa dihadirkan di dalam hati:

نويت صوم غد عن رمضان..

Maksudnya:Sahaja aku berpuasa esok hari daripada ramadhan..

-Adapun niat yang sempurna itu ialah:

نويت صوم غد عن أداء فرض رمضان هذه السنة لله تعالى.

Maksudnya: Sahaja aku berpuasa esok hari daripada menunaikan fardu ramadhan tahun ini kerana Allah taala.

-Dan boleh bahawa taqliq seorang itu akan mazhab Malik رضي الله عنه pada masalah niat dengan bahawa niat sebulan penuh ramadhan supaya hasil puasa bagi hari yang terlupa ia niat pada hari itu..

-Adapun niat puasa sebulan adalah sebagaimana berikut:

نويت صوم شهر رمضان كله لله تعالى..

Maksudnya:Sahaja aku berpuasa sebulan ramadhan sekaliannya kerana Allah taala.

Wallahua'lam...

Bersambung insyaallah....

Catitan drp kitab:
-Hasyiah Baijuri a'la Syarah Ibnu Qosim
-Sabil al-muhtadin karya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari رحمه الله

Puasa BAB 2

Catitan Bab Puasa 2 (Muzakarah)

*Penentuan Awal Ramadhan

-Dan diwajibkan puasa atas jalan umum(iaitu meliputi semua orang) dengan sempurna sya’ban 30 hari atau dengan thabit kelihatan anak bulan pada malam yang ke-30 daripada sya’ban di sisi hakim/qadhi kerana bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم:

صوموا لرؤيته وأفطروا لرؤيته فإن غم عليكم فأكملوا عدة شعبان ثلاثين يوما..

Mafhumnya:Puasalah oleh kamu kerana melihat anak bulan dan berbukalah oleh kamu(yakni berayalah kamu) kerana melihat anak bulan.Maka jika menjadi samar atas kamu(dengan makna tidak nampak anak bulan) maka sempurnakanlah oleh kamu bilangan sya’ban 30 hari.

-Dan memada bahawa menjadi thabit kelihatan anak bulan itu dengan syahadah seorang yang adil sahaja(adil syahadah bukan adil riwayat).

-Dan memada pada syahadah itu bahawa berkata seorang yg melihat anak bulan itu:

أشهد أني رأيت الهلال..

Maksudnya:Aku bersaksi bahawa sungguh telah melihat aku akan anak bulan.

Dan memada pada syahadah dengan seorang yang adil itu kerana berdalilkan hadis yang terhenti atas ibnu Umar رضي الله عنه katanya:

أخبرت النبي صلى الله عليه وسلم أني رأيت الهلال فصام وأمر الناس بصيامه..

Maksudnya:Telah memberitahu aku akan Nabi saw bahawa telah melihat aku akan anak bulan, maka puasa nabi saw dan menyuruh ia akan orang ramai dengan puasa.

Dan dikendaki dengan kata ibnu umar أخبرت (‘telah memberitahu aku akan Nabi صلى الله عليه وسلم) itu ialah memberitahu ia akan Nabi saw dengan lafaz syahadah sepertimana yang ditunjukkan oleh hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi رحمه الله bahawasanya seorang a’rabi telah bersaksi disisi Nabi صلى الله عليه وسلم dengan melihat anak bulan,maka menyuruh Nabi صلى الله عليه وسلم akan orang ramai dengan puasa.

-Dan diwajibkan puasa atas jalan khusus(iaitu tidak meliputi semua orang tetapi hanya tertentu bagi diri seeorang itu sahaja) dengan bahawa melihat seorang itu akan anak bulan,atau memberitahu akannya oleh seorang yang dipercayai dengan melihat anak bulan,atau memberitahu akannya oleh seorang yang iktiqod ia akan benarnya seorang itu walaupun orang itu perempuan atau budak-budak atau seorang yang fasik sekalipun.

bersambung....

Catitan daripada kitab:
-Hasyiah Baijuri a'la syarah Ibnu Qosim
-Sabil al-muhtadin karya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari رحمه الله..

Thursday 4 June 2015

Puasa BAB 1

Catitan Bab Puasa 1(Muzakarah)

Asal puasa itu adalah daripada syariat-syariat yang terdahulu dan bukanlah tertentu dengan ini umat sepertimana yang disebut di dalam firmanNya taala: كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم....
Maksud:difardukan atas kamu puasa sepertimana difardukan atas mereka-mereka (umat-umat) yang terdahulu sebelum kamu.

Adapun kaifiat(cara) puasa yang difardukan atas umat Muhammad صلى الله عليه وسلم adalah khususiyyat atau ketentuan umat ini.

*Tahun Difardukan Puasa :
Telah difardukan puasa pada bulan Sya’ban pada tahun yang kedua daripada hijrah.

*Jumlah Bilangan Puasa Nabi صلى الله عليه وسلم:
Telah berpuasa Nabi saw akan puasa Ramadhan sebanyak 9 kali.Daripada 9 kali puasa itu hanya 1 kali sahaja Nabi صلى الله عليه وسلم berpuasa penuh sebanyak 30 hari,adapun baki 8 kali lagi itu berpuasa Nabi صلى الله عليه وسلم kurang daripada 30 hari(iaitu 29 hari).Dan telah menyebut para ulama bahawa hikmah daripada yang demikian itu,barangkali untuk menenangkan atau menetapkan hati-hati umatnya yang berpuasa kurang daripada 30 hari, dan juga untuk menjagakan bahawa sama sahaja bagi puasa penuh 30 hari dengan puasa yang kurang(29 hari) itu dari segi pahala yang yang dikira atas asal puasa sebulan ramadhan(yakni bulan-bulan hijriah itu terkadang 29 hari dan terkadang 30 hari,maka jika berlaku bulan ramadhan sebanyak 29 hari maka pahala puasa 29 hari itu sama sahaja seperti berpuasa 30 hari dari segi pahala yang dikira atas asal puasa ramadhan)

*Dalil Kewajipan Puasa:
Dan dalil yang yang menunjuk atas wajib puasa sebelum berlaku ijmak adalah firman Allah taala di dalam surah al-baqarah ayat 183: يأيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم.. Maksud:Wahai mereka-mereka yang beriman difardukan atas kamu puasa sepertimana difardukan atas mereka-mereka(umat-umat) yang terdahulu sebelum daripada.
Dan juga sabda Nabi صلى الله عليه وسلم mafhumnya: Dibina Islam itu di atas 5 perkara: mengaku bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم itu pesuruh Allah, dan mendirikan solat, dan mengeluarkan zakat, dan melaksanakan haji ke Baitullah dan BERPUASA DI BULAN RAMADHAN……..

*Hukum/Kedudukan Orang Yang Mengingkari Kewajipan Puasa:
Dan puasa ini merupakan salah satu daripada perkara-perkara yang maklum di dalam agama dengan doruroh.Jadi barangsiapa yang ingkar ia akan puasa maka jadu kufur ia dengan sebab ingkarnya itu, kecuali sekiranya seorang itu baru masuk Islam, atau membesar ia hal keadaannya jauh daripada ulama,maka tidak dihukum kufur seorang itu.
-Adapun sekiranya tinggal seorang itu akan puasa dengan ketiadaan uzur, hal keadaannya tidak ingkar akan wajib puasa,maka tidak jadi kufur ia tetapi dikurung dan ditegah ia daripada makan supaya hasil baginya rupa puasa walaupun pada hakikat ianya tidak berpuasa. bersambung.....

Catitan daripada kitab: -Hasyiah Baijuri a'la syarah Ibnu Qosim -Sabil al-muhtadin karya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari رحمه الله.