Saturday 14 May 2016

AL QURAN VS MAZHAB SYAFI'E

Oleh : Ust Zamri Hashim

        Semasa bersiaran di Radio Perak di dalam rancangan soal jawab agama, saya tertarik dengan satu soalan yang diutarakan melalui soalan khidmat pesanan ringkas (SMS). Di sini saya cuba kongsikan sesuatu yang menjadi persoalan tersirat yang semakin melaus berlaku di dalam masyarakat. Soalan itu berbunyi -seingat saya- "Apa hukumnya ustaz, saya sebagai isteri beramal dengan Mazhab Syafi'e sedangkan suami saya beramal dengan al-Quran dan al-Sunnah. Adakah saya dikira sebagai isteri yang derhaka?"

        Bila diamati soalan itu barulah saya fahami dan insafi bahawa aliran menolak mazhab semakin kronik. Malah ia menjadi semakin parah apabila merasa diri terlalu yakin untuk menginsbat hukum terus daripada al-Quran dan al-Hadith tanpa merujuk kepada salah satu daripada mazhab yang empat. Dalam masa yang sama tidak melengkapkan diri dengan ilmu alat yang munasabah serta berpada dengan potongan beberapa minit video-video pendek. Sehingga menjelmakan fenomena merendah-rendahkan pandangan ulama saatu-satu mazhb.

        Adakah fenomena melafazkan niat ketika hendak memulakan solat seperti yang diajar oleh ulama-ulama mazhab Syafi'e tidak mengikut al-Quran dan al-Sunnah sebaliknya hanya mengikut Mazhab Syafi'e? Persoalan itu timbul kerana niat yang diajar oleh ulama tidak ada dalam al-Quran mahupun Hadith yang secara langsung mengenainya.

        Apakah menyapu muka selepas memberi salam ketika solat dianggap hanyalah beramal dengan Mazhab Syafi'e? Mungkinkah ia membawa maksud tidak beramal dengan al-Quran dan al-Sunnah kerana tiada dalil langsung daripadanya?

        Inilah fenomena penyakit ilmu apabila masyarakat didedahkan dan terdedah dengan hanya menghafal hukum tetapi tidak didedahkan dengan ilmu bagaimana hukum itu dibuat. Bahkan sangat minimum pendedahan tokoh-tokoh imam mazhab yang bersattus mujtahid mutlak ini kepada masyarakat.

        Hukum yang biasa difahami oleh orang awam iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram itu ada tempat ambilannya. Bukan muncul secara tiba-tiba mahupun sengaja direka-reka oleh ulama. Sumber ambilan hukum-hukum itu adalah daripada dalil-dalil syarak (al Adillah al Syar'iyyah). Dalil-dalil syarak juga dinamakan sebagai sumber asal hukum yang utama adalah al-Quran dan al-Sunnah. Walau bagaimanapun, ada dalil-dalil atau sumber-sumber sokongan lain yang juga digunakan para ahli feqah (fuqaha') untuk membuat kesimpulan hukum seperti ijmak, qiyas, istishab, masalih mursalah, istihsan, qaul sahabi, 'uruf, sad az-zara' dan syari'at man qablana.

        Bagi yang menekuni ulum syariah daripada titik awal dan bukan yang menadah ilmu meloncat terus ke peringkat kesimpulan hukum, sedia memaklumi bahawa imam empat-empat mazhab termasuk Imam Mazhab Syafi'e yang menjadi subjek soalan tadi meletakkan al-Quran dan al-Hadith sebagai sumber hukum yang paling utama. Di samping mereka merujuk juga kepada dalil-dalil syarak atau sumber hukum lain dengan memberi keutamaan yang agak berbeza di antara satu sama lain.

       Mazhab Hanafi menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber utama. Selepas itu diikuti dengan ijmak, fatwa sahabat nabi saw, qiyas, istihsan, adat dan 'uruf masyarakat.

        Mazhab Maliki juga menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber utama. Ijmak, qias, Masalih Mursalah, amal ahli Madinah dan pendapat-pendapat sahabat juga dijadikan sumber hukum oleh Imam Malik.

        Mazhab Syafi'e turut menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber utama hukum diikuti dengan ijmak dan qias.

        Mazhab Hambali juga seperti tiga imam mazhab sebelumnya turut meletakkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber utama hukum, di samping Fatwa sahabat, hadith mursal dan qiyas.

        Kesimpulannya Imam Mazhab yang empat termasuk Imam Syafi'e telah menjadikan al-Quran  dan al-Sunnah sebagai sumber hukum yang utama. Maka tiudak timbul langsung berlaku pertentangan antara al-Quran dengan mazhab Syafi'e seperti persoalan yang timbul di awal tulisan ini tadi.

NIAT DALAM AL-QURAN

        Kembali kepada isu melafazkan niat. Qaul (pendapat) yang muktamad dalam mazhab Syafi'e, sunat melafazkan niat pada semua ibadat. Ia diqiaskan dengan perbuatan Nabi saw yang melafazkan niat ketika mengerjakan Haji dan Umrah.

        "Daripada Anas : Aku mendengar Rasulullah saw mengucapkan Labbaik, aku sengaja mengerjakan umrah dan haji.(HR Muslim)"

       Imam Ibnu Hajar al-Haitami mengatakan dalam kitab Tuhfah bahawa lafaz ushalli ini diqiaskan kepada haji. Maka apabila kita amat-amati ulama-ulama Mazhab Syafi'e tidak memandai-mandai membuat hukum sesuka hati.

        Walaupun tiada dalil khusus daripada al-Quran dan al-Hadith mengenai hukum berlafaz niat namun mereka menggunakan dalil Qiyas. Al-Quran sendiri mengisyaratkan agar kita menggunakan dalil Qiyas untuk menyelesaikan masalah.

        "Allahlah yang menurunkan Al-Kitab dengan (membawa) kebenaran dan (menurunkan) mizan." Surah as-Syura ayat 17)

        Mizan atau timbangan adalah sesuatu yang perkara-perkara ditimbang dengannya. "Sebagaimana kami telah memulai penciptaan pertama begitulah Kami akan mengulanginya." (Surah al-Anbiya' ayat 104)
        "Dan Allahlah yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan, maka Kami halau awan itu ke suatu negeri yang mati lalu Kami hidupkan bumi setelah matinya dengan hujan itu." (Surah al-Fatir ayat 9)

        Allah menyerupakan pengulangan penciptaan dengan permulaannya, dan menyerupakan menghidupkan yang mati dengan menghidupkan bumi, ini adalah Qiyas.

        Apabila benar-benar memahami susur jalur Mazhab Syafi'e membuat kesimpulan hukum maka dapatlah kita fahami bahawa tidak berlaku seperti yang didakwa berlaku pertentangan antara al-Quran dengan metodologi Mazhab Syafi'e. Begitu juga isu menyapu muka selepas salam. Mazhab Syafi'e mengambil dalil dari Hadith riwayat Ibnu Sunni, al Bazzar, Tabrani dan Ibnu 'Adi.

        Anas bin Malik menyatakan adalah Rasulullah saw apabila selesai daripada solat, Baginda menyapu dahinya dengan tangan kanan sambil mengucapkan "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Ya Allah hilangkanlah daripadaku kegundahan dan kedukaan."

        Para Imam mazhab yang empat termasuklah Imam Syafi'e adalah orang yang sangat memahami al-Quran bahkan beliau memiliki kemampuan bahasa Arab yang tinggi. Adalah mustahil menggambarkan kesimpulan-kesimpulan hukum yang dilakukan Imam Syafi'e dan pendukung-pendukung yang mengikuti metodologi pendalilan Imam mereka bertentangan dengan al-Quran.

       Hanya mengetahui hukum tetapi kurang mengetahui cara bagaimana hukum itu disimpulkan daripada dalil-dalil menyebabkan seseorang kurang atau tidak menghormati, bahkan memandang serong kepada kemampuan imam-imam mazhab. Lantaran itu mereka tidak segan silu mengajak orang alin untuk melepaskan diri daripada bermazhab dan berpada dengan 'berijyihad' sendiri terus mendapat hukum daripada ayat al-Quran dan al-Hadith walaupun tidak mempunyai kelayakan yang munsabah untuk berijtihad.


Disunting oleh:
Kelab Media Mahasiswa Malaysia
Lajnah Penerangan Dan Penerbitan
Khartoum, Sudan

Thursday 28 April 2016

Musabaqah Tsaqafiyyah 2016, Sudan

[Throw Back]

Pada 22 April 2016, Jumaat, Persatuan Mahasiswa Malaysia Sudan telah menyertai Program Musabaqoh Tsaqafiyyah anjuran Persatuan Mahasiswa Indonesia di Sudan.
Dalam program tersebut, pihak HELWI telah menghantar beberapa orang wakil dari kalangan Mahasiswi untuk menyertai beberapa Pertandingan.
Berikut adalah kejayaan yang dicapai oleh HELWI:
1: Johan Reka Cipta Kitar Semula yang disertai oleh : Ummu Humaira, Nurussyifa' dan Nur Izzah Husna
2: Naib Johan Musalsah yang disertai oleh : Jamilah Rawaida
3: Naib Johan Reportase Kesudanan yang diwakili oleh Aishah Nabiela, Mas Ummi dan Nur Izzah Husna.



Pihak Persatuan Mahasiswa Malaysia Sudan mengucapkan tahniah kepada semua para pemenang sekaligus dapat menaikkkan nama Persatuan Mahasiswa Malaysia Sudan khususnya dan Negara Malaysia amnya.
Semoga kejayaan yang dicapai oleh mereka menjadi penyuntik semangat kepada kita semua sebagai ahli PMMS untuk sama-sama mengeratkan hubungan silaturrahim dengan saudara seislam di Bumi Sudan dan bersama-sama membawa imej yang baik untuk PMMS dan juga Negara Malaysia yang Tercinta.
Dilaporkan oleh:
Sdr. Mohd Hafizul Syafiq
Exco Lajnah Penerangan dan Penerbitan
Persatuan Mahasiswa Malaysia Sudan29 April 2016
Khartoum, Sudan

(Kredit gambar drp Nur Izzah Husna, Timbalan Exco Lajnah Penerangan dan Penerbitan)