Peristiwa



Catitan Bab Puasa 2

*Penentuan Awal Ramadhan
-Dan diwajibkan puasa atas jalan umum(iaitu meliputi semua orang) dengan sempurna sya’ban 30 hari atau dengan thabit kelihatan anak bulan pada malam yang ke-30 daripada sya’ban di sisi hakim/qadhi kerana bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم:
صوموا لرؤيته وأفطروا لرؤيته فإن غم عليكم فأكملوا عدة شعبان ثلاثين يوما..
Mafhumnya:Puasalah oleh kamu kerana melihat anak bulan dan berbukalah oleh kamu(yakni berayalah kamu) kerana melihat anak bulan.Maka jika menjadi samar atas kamu(dengan makna tidak nampak anak bulan) maka sempurnakanlah oleh kamu bilangan sya’ban 30 hari.
-Dan memada bahawa menjadi thabit kelihatan anak bulan itu dengan syahadah seorang yang adil sahaja(adil syahadah bukan adil riwayat).
-Dan memada pada syahadah itu bahawa berkata seorang yg melihat anak bulan itu:
أشهد أني رأيت الهلال..
Maksudnya:Aku bersaksi bahawa sungguh telah melihat aku akan anak bulan.

Dan memada pada syahadah dengan seorang yang adil itu kerana berdalilkan hadis yang terhenti atas ibnu Umar رضي الله عنه katanya:
أخبرت النبي صلى الله عليه وسلم أني رأيت الهلال فصام وأمر الناس بصيامه..
Maksudnya:Telah memberitahu aku akan Nabi saw bahawa telah melihat aku akan anak bulan, maka puasa nabi saw dan menyuruh ia akan orang ramai dengan puasa.
Dan dikendaki dengan kata ibnu umar أخبرت (‘telah memberitahu aku akan Nabi صلى الله عليه وسلم) itu ialah memberitahu ia akan Nabi saw dengan lafaz syahadah sepertimana yang ditunjukkan oleh hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi رحمه الله bahawasanya seorang a’rabi telah bersaksi disisi Nabi صلى الله عليه وسلم dengan melihat anak bulan,maka menyuruh Nabi صلى الله عليه وسلم akan orang ramai dengan puasa.

-Dan diwajibkan puasa atas jalan khusus(iaitu tidak meliputi semua orang tetapi hanya tertentu bagi diri seeorang itu sahaja) dengan bahawa melihat seorang itu akan anak bulan,atau memberitahu akannya oleh seorang yang dipercayai dengan melihat anak bulan,atau memberitahu akannya oleh seorang yang iktiqod ia akan benarnya seorang itu walaupun orang itu perempuan atau budak-budak atau seorang yang fasik sekalipun.
bersambung....

Catitan daripada kitab:
-Hasyiah Baijuri a'la syarah Ibnu Qosim
-Sabil al-muhtadin karya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari رحمه الله..

Pengarang : Ust Nazeem

Catitan Bab Puasa 1

-Asal puasa itu adalah daripada syariat-syariat yang terdahulu dan bukanlah tertentu dengan ini umat sepertimana yang disebut di dalam firmanNya taala:
كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم....
Maksud:difardukan atas kamu puasa sepertimana difardukan atas mereka-mereka (umat-umat) yang terdahulu sebelum kamu.

-Adapun kaifiat(cara) puasa yang difardukan atas umat Muhammad صلى الله عليه وسلم adalah khususiyyat atau ketentuan umat ini.
*Tahun Difardukan Puasa
-Telah difardukan puasa pada bulan Sya’ban pada tahun yang kedua daripada hijrah.

*Jumlah Bilangan Puasa Nabi صلى الله عليه وسلم:
-Telah berpuasa Nabi saw akan puasa Ramadhan sebanyak 9 kali.Daripada 9 kali puasa itu hanya 1 kali sahaja Nabi صلى الله عليه وسلم berpuasa penuh sebanyak 30 hari,adapun baki 8 kali lagi itu berpuasa Nabi صلى الله عليه وسلم kurang daripada 30 hari(iaitu 29 hari).Dan telah menyebut para ulama bahawa hikmah daripada yang demikian itu,barangkali untuk menenangkan atau menetapkan hati-hati umatnya yang berpuasa kurang daripada 30 hari, dan juga untuk menjagakan bahawa sama sahaja bagi puasa penuh 30 hari dengan puasa yang kurang(29 hari) itu dari segi pahala yang yang dikira atas asal puasa sebulan ramadhan(yakni bulan-bulan hijriah itu terkadang 29 hari dan terkadang 30 hari,maka jika berlaku bulan ramadhan sebanyak 29 hari maka pahala puasa 29 hari itu sama sahaja seperti berpuasa 30 hari dari segi pahala yang dikira atas asal puasa ramadhan)

*Dalil Kewajipan Puasa:
-Dan dalil yang yang menunjuk atas wajib puasa sebelum berlaku ijmak adalah firman Allah taala di dalam surah al-baqarah ayat 183:
يأيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم..
Maksud:Wahai mereka-mereka yang beriman difardukan atas kamu puasa sepertimana difardukan atas mereka-mereka(umat-umat) yang terdahulu sebelum daripada.
Dan juga sabda Nabi صلى الله عليه وسلم mafhumnya:
Dibina Islam itu di atas 5 perkara: mengaku bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم itu pesuruh Allah, dan mendirikan solat, dan mengeluarkan zakat, dan melaksanakan haji ke Baitullah dan BERPUASA DI BULAN RAMADHAN……..

*Hukum/Kedudukan Orang Yang Mengingkari Kewajipan Puasa:
-Dan puasa ini merupakan salah satu daripada perkara-perkara yang maklum di dalam agama dengan doruroh.Jadi barangsiapa yang ingkar ia akan puasa maka jadu kufur ia dengan sebab ingkarnya itu, kecuali sekiranya seorang itu baru masuk Islam, atau membesar ia hal keadaannya jauh daripada ulama,maka tidak dihukum kufur seorang itu.

-Adapun sekiranya tinggal seorang itu akan puasa dengan ketiadaan uzur, hal keadaannya tidak ingkar akan wajib puasa,maka tidak jadi kufur ia tetapi dikurung dan ditegah ia daripada makan supaya hasil baginya rupa puasa walaupun pada hakikat ianya tidak berpuasa.
bersambung.....

Catitan daripada kitab:
-Hasyiah Baijuri a'la syarah Ibnu Qosim
-Sabil al-muhtadin karya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari رحمه الله..

Pengarang : Ust Nazeem

No comments:

Post a Comment