Thursday 2 July 2015

KEADILAN SISTEM ISLAM SEBAGAI ALTERNATIF MENANGANI KRISIS AKIBAT KENAIKAN HARGA MINYAK

KEADILAN SISTEM ISLAM SEBAGAI ALTERNATIF MENANGANI KRISIS AKIBAT KENAIKAN HARGA MINYAK.

Oleh: Zaharudin Muhamad.

(Tulisan tahun 2005, jadi angka berubah tetapi poinnya sama).

Minyak adalah sebahagian daripada sumber alam yang bergantung kepada anugerah Allah s.w.t. Ia adalah kekuatan sebenar ekonomi negara. Teknologi-teknologi terkini yang dianggap sumber penting ekonomi bagi sesebuah negara sangat bergantung kepada sumber alam. Lihat sahaja teknologi permotoran sebagai contoh, ia bergantung rapat dengan sumber alam semula jadi seperti getah bagi pembuatan tayar, besi bagi pembuatan enjin, minyak bagi kuasa penggerak dan lain-lain komponen. Jika sumber alam seperti getah, minyak dan lain-lain pupus atau berkurangan, ia memberikan impak( ) yang besar kepada industri pemotoran ini.

Oleh kerana itu, kekuatan yang sebenar ialah kekuatan sumber alam. Jika sesebuah negara tidak mempunyai sumber alamnya sendiri, ia sangat bergantung harap kepada negara-negara lain walaupun ia sebuah negara yang kaya. Negara yang berjaya membangunkan sendiri sumber alamnya yang banyak merupakan negara yang mempunyai kekuatan sebenar kerana ia tidak perlu bergantung harap kepada negara-negara lain kerana keperluannya telah mencukupi.

Anugerah ini merupakan kurniaan Allah s.w.t untuk setiap individu manusia yang hidup di atas muka bumi ini. Firman Allah s.w.t : 
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. - (Al-Baqarah : 29).

Dan firman Allah s.w.t : 
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنْ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui. - (Al-A'raaf : 32).

Kurniaan Allah s.w.t berbentuk sumber alam ini merupakan milik bersama setiap individu manusia tanpa mengira Islam atau bukan Islam. Ini kerana, kesemua mereka adalah manusia yang diciptakan oleh Allah s.w.t. Maka dengan sifat pemurah Allah s.w.t, rezeki ini dibahagikan antara orang-orang beriman dan orang-orang yang kafir di atas dunia ini.

Dalam konteks yang lain, sumber alam yang menjadi paksi kuasa seperti petrol, uranium dan lain-lain terletak di dalam negara-negara umat Islam. Ini merupakan satu kelebihan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada mereka. Firman Allah s.w.t :
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنْ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ
Maksudnya : Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. - (Al-A'raaf : 96)

Malangnya, sumber alam negara umat Islam yang menjadi paksi kuasa moden pada hari ini dieksploitasi( ) oleh golongan-golongan Eropah dan Amerika. Mereka berebut-rebut menguasai negara umat Islam bagi menguasai minyak dan galian di samping agenda agama yang dibawa oleh mereka. Negara-negara Islam yang kaya dengan sumber ini hanya mampu menjadi negara perniagaan yang banyak bergantung kepada Eropah dan Amerika.

PERLAKSANAAN SYARIAT ISLAM.

Bagi perlaksanaan ini, Allah s.w.t telah meletakkan garis panduan kepada manusia dalam mentadbir negara bagi memastikan harta negara tidak mengalir di kalangan golongan tertentu sahaja. Garis panduan ini ialah firman Allah s.w.t : 
كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ
Maksudnya: (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu..- (Al-Hasyr : 7)

Garis panduan ini dianggap sebagai Maqasid Syar'iyyah disebalik pengsyariatan hukum-hakam berkaitan pembahagian pendapatan negara.

Untuk memastikan kita berada di atas garisan Maqasid Syariyyah tersebut, pentadbiran minyak di Malaysia mestilah selari dengan hukum-hakam fekah yang dapat menutup segala pintu-pintu monopoli. Bagi memastikan agihan minyak negara dapat mengalir kepada rakyat, hukum-hakam berkaitan persoalan-persoalan berikut mesti diguna pakai :

1. Pemilikan Galian.

Bagi merealisasikan hasil minyak negara tidak mengalir di kalangan golongan-golongan tertentu, minyak negara mestilah dimiliki oleh kerajaan secara mutlak dan kerajaan perlu membelanjakannya dengan bijaksana untuk kemaslahatan umum. Ia tidak boleh dijadikan hak milik swasta sebagaimana yang berlaku di dalam negara kita. Pihak kerajaan mestilah menguruskan hasil minyak dengan baik bagi maslahah rakyat. 
Pendapat ini sebagaimana menurut mazhab Maliki yang bersandarkan kepada hujah-hujah berikut:

a. Galian yang terdapat di dalam bumi wujud lebih awal berbanding pemilikan tanah. Oleh itu, pemilik tanah sekalipun tidak boleh memiliki galian yang terdapat di dalam tanah miliknya sendiri berpandukan kepada firman Allah s.w.t : 
إِنَّ الْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ
Maksudnya : Sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya. – (Al-A'raaf : 128).

Allah s.w.t tidak menyatakan : 
إِنَّ الْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا وما فيها مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ
Maksudnya : Sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya (tanah) berserta kandungannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya.

Berpandukan kepada ayat ini, segala kandungan bumi yang berbentuk galian tidak boleh diserahkan kepada pihak swasta atau individu tertentu bahkan ia menjadi harta perolehan orang ramai. ( )

b. Kemungkinan galian bumi diperolehi dan ditemui golongan-golongan jahat. Jika ia tidak dijadikan hak milik kerajaan, nescaya menyebabkan berlaku kekecohan dan huru-hara. ( )

Di samping hujah di atas, ketidak harusan menyerahkan minyak negara kepada pihak swasta juga bersandarkan kepada suatu hadis daripada Rasulullah s.a.w :

الْمُسْلِمُونَ شُرَكَاءُ فِي ثَلَاثٍ فِي الْمَاءِ وَالْكَلَإِ وَالنَّارِ وَثَمَنُهُ حَرَامٌ
Maksudnya : Orang-orang Islam bersekutu di dalam tiga perkara: air, rumput rampai (tempat pengembala melepaskan binatang ternakan) dan api. Hasil (pendapatan daripadanya) adalah haram (jika diniagakan). – (Hadis riwayat Abu Daud : 2463)

Minyak termasuk di dalam kategori "api" yang dimaksudkan di dalam hadis di atas kerana ia merupakan bahan bakar yang diperlukan oleh semua manusia. Persamaan minyak dan api darisudut keperluan umum (utiliti umum) amat jelas kerana minyak dan api merupakan perkara asasi yang diperlukan oleh orang ramai. Monopoli dan penguasaan sesuatu pihak terhadap bahan-bahan keperluan asasi ini menyebabkan kepentingan orang ramai boleh diekploitasi oleh sesetengah pihak sahaja kerana bahan tersebut akan dibeli oleh orang ramai walau dengan harga yang tinggi kerana mereka sangat memerlukan kepadanya.

Oleh itu, Rasulullah s.a.w melarang melalui hadis di atas pengswastaan dan memilikkan harta negara yang berbentuk kepeluan asas kepada pihak swasta atau individu-individu tertentu. 
Tambahan pula, Islam sangat mementingkan keseimbangan ekonomi masyarakat. Keseimbangan ini tidak akan berlaku jika harga kekayaan negara yang besar seperti minyak dimonopoli oleh pihak tertentu dan penyerahan minyak kepada swasta boleh mewujudkan sikap monopoli dan kekayaan yang tertumpu kepada sesetengah pihak, sedangkan rakyat menunggu-nunggu untuk mendapatkan manfaat daripada hasil minyak. Fenomena ini juga mendorong berlakunya inflasi di dalam negara.( )

2. Panduan Islam Bagi Pengswastaan Cari Gali Minyak.

Di dalam tajuk lepas iaitu Pemilikan Galian, minyak yang termasuk di dalam kategori bahan galian mesti dimiliki oleh kerajaan dan tidak boleh diserahkan kepada pihak swasta dan kerajaan perlu menguruskan minyak tersebut untuk kemaslahatan rakyat.

Tetapi persoalan di sini, adakah hak untuk mencari gali minyak tersebut boleh diserahkan kepada pihak swasta? Adakah pengswastaan oleh pihak kerajaan boleh menjamin kemaslahatan rakyat sehingga kerajaan dibenarkan untuk mengswastakan 'cari gali minyak' negara?

Untuk memberikan jawapan kepada persoalan ini, kita perlu mengetahui bahawa pengswastaan menurut Islam terbahagi kepada dua:

1. Pengswastaan hak milik (إقطاع التمليك): menjadikan sesuatu barang, tanah dan sebagainya sebagai hak milik untuk pihak-pihak yang diswastakan. Bentuk pengswastaan ini, kerajaan dan rakyat tidak mempunyai hak ke atas sesuatu yang telah diswastakan.

2. Pengswataan manfaat (إقطاع الإنتفاع): iaitu menyerahkan sesuatu kepada pihak swasta untuk pengambilan manfaat sahaja, bukan menyerahkannya secara mutlak.

Berpandukan kepada dalil-dalil yang kuat dan kukuh, pengswastaan diharuskan oleh Islam. Tetapi pengswastaan ini mestilah dipastikan tidak membawa kepada monopoli dan memastikan ia tidak mengalir di kalangan orang kaya sahaja.

Oleh itu, cari gali minyak boleh diswastakan, tetapi dalam bentuk pengswastaan manfaat, bukan pengswastaan hak milik. Pendapat ini merupakan pendapat Mazhab Maliki( ) yang mengsyaratkan bahawa usul dan punca kepada galian tidak boleh diserahkan kepada swasta.

Mazhab Maliki meletakkan syarat ini untuk merealisasikan maslahah orang ramai berbanding maslahah individu. Perealisasian ini jelas melalui tindakan Saidina Umar menarik balik tanah yang tidak mampu diusahakan oleh Bilal, iaitu tanah yang telah diswastakan oleh Rasulullah s.a.w semasa hayat baginda s.a.w kepada bilal untuk dibangunkan. Jika pengswastaan tanah oleh Rasulullah s.a.w untuk Bilal merupakan pengswastaan hak milik, nescaya Saidina Umar tidak ada hak untuk menarik balik tanah yang telah diswastakan oleh Rasulullah s.a.w. ( )

3. Akad Sewaan Dan Perkongsian.

Di samping perbincangan tentang pengswastaan, ulama-ulama fekah juga banyak membincangkan soal akad sewaan dan perkongsian ke atas bahan galian. Secara umum, jumhur ulama berpendapat kerajaan harus menyewakan harta negara yang tidak dimiliki oleh rakyat dan kerajaan. Cuma perbezaan gambaran dahulu dengan gambaran sekarang ialah, kerajaan menganggap selain daripada harta individu adalah harta kerajaan. Oleh itu, tidak timbul samada cari gali minyak boleh disewakan ataupun tidak kepada pihak tertentu kerana kekhilafan timbul berkenaan tanah yang bukan milik rakyat dan bukan milik kerajaan. 
Akad sewaan menurut istilah ialah : Memilikkan manfaat tertentu, dengan imbuhan tertentu dan bagi tempoh tertentu. Dengan ini, pihak yang disewakan (pekerja atau syarikat) mesti memastikan pihak penyewa (dalam konteks ini ialah kerajaan) mendapat manfaat daripada bahan sewaan (dalam konteks ini ialah cari gali minyak). Secara umumnya, upah kerja termasuk dalam kontrak sewaan kerana termasuk di dalam kategori "sewa tenaga" di samping sewa-sewa lain yang berbentuk benda seperti rumah, kedai dan lain-lain.

Bentuk sewaan menurut hukum fekah yang boleh dikaitkan dengan perlaksanaan perjanjian sekarang antara syarikat-syarikat cari gali minyak dan kerajaan boleh dikategorikan kepada tiga bentuk:

1. Hasilan bumi diperolehi oleh pemilik (kerajaan) dan upah untuk pekerja (syarikat).

2. Hasilan bumi dimiliki oleh pekerja (syarikat) dan upahnya untuk pemilik (kerajaan).

3. Perkongsian hasil antara pemilik (kerajaan) dan pekerja (syarikat).

Daripada ketiga-tiga bentuk akad sewaan di atas, hanya bentuk pertama sahaja yang disepakati oleh ulama tentang keharusannya.

Adapun bentuk kedua, secara konsepnya diharamkan oleh jumhur ulama. Manakala perlaksanaannya sekarang boleh disifatkan haram secara muafakat ulama. Bentuk kedua ini merupakan bentuk perlaksanaan perjanjian kerajaan Malaysia dengan syarikat-syarikat konsesi minyak dan pengharamannya ialah menyerahkan hak pemilikan minyak kepada syarikat-syarikat cari gali minyak manakala kerajaan hanya mendapat pulangan dalam bentuk cukai, royalti.

Manakala cara yang ketiga pula, dari sudut konsepnya terdapat khilaf dikalangan ulama. Tetapi dari sudut perlaksanaannya adalah harus kerana ia tidak berteraskan kepada akad sewaan, tetapi ia berteraskan kepada akad mudharabah.

Antara faktor yang meletakkan perjanjian kerajaan Malaysia dengan syarikat-syarikat cari gali minyak di dalam kategori bentuk yang kedua kerana faktor berikut :

1. Menyerahkan hak milik minyak kepada syarikat cari gali.

2. Kerajaan mendapat keuntungan melalui cukai pendapatan Syarikat dan Petroleum (RM14.3 bilion), dividen (RM9.1 bilion), royalti (RM6.2 bilion) dan duti eksport atas petroleum (RM1.6 bilion).

3. Kerajaan tidak mendapat apa-apa hasil minyak selain daripada bentuk-bentuk perjanjian cukai di atas.

Perlu difahami bahawa, perbezaan antara bentuk kedua dan ketiga ialah, perkongsian untung antara kerajaan dan dan syarikat cari gali ialah keuntungan selepas cukai, bukan sebelum cukai. Ini kerana, cukai termasuk dalam perbelanjaan syarikat cari gali dan ia tidak termasuk di dalam kategori keuntungan. Bermakna dalam konteks Malaysia, jika mengguna pakai cara ketiga yang diharuskan menurut hukum fekah, perkongsian untung antara kerajaan dan syarikat Petronas ialah sebanyak RM26.83 bilion, bukan RM58.03 bilion. Jika perjanjian antara syarikat dan kerajaan ialah 50-50, bermakna kerajaan akan memperolehi sebanyak RM31.2 bilion sebagai cukai dan RM13.4 bilion sebagai keuntungan hasil yang dikongsi antara kerajaan dan Petronas.

Bentuk yang ketiga ini merupakan bentuk yang diguna pakai oleh negara-negara besar seperti Venezuela pada tahun 1948, Saudi pada tahun 1950 dan lain-lain.( ) Manakala perjanjian bentuk yang pertama dijalankan di Mexico pada tahun 1938 dan beberapa negara lain seperti Argentina.( )

Perlu diketahui bahawa, bentuk kedua merupakan cara dan sistem yang diguna pakai oleh penjajah dan syarikat-syarikat gergasi dari luar untuk mengeksploitasi hasil mahsul bumi umat Islam. Penerimaan negara-negara umat Islam terhadap bentuk kedua ini didorong oleh kesan penjajahan dan keperluan negara kepada modal yang besar untuk mengeluarkan hasil bumi disamping kekurangan kepakaran dan kemampuan teknikal bagi negara-negara umat Islam.( )

Oleh itu, negara-negara lain telah lama membatalkan kontrak bentuk kedua ini dan ditukar kepada kontrak bentuk ketiga seperti Venezuela (tahun 1948m), Saudi (tahun 1950m), Kuwait (tahun 1951m), Iraq (tahun 1952m), kemudian Qatar (tahun 1953m) kemudia diikuti oleh Bahrain (tahun 1955m).

Oleh itu, untuk apa Malaysia mengekalkan bentuk yang kedua sedangkan negara-negara lain telah mengubah kepada bentuk yang ketiga? Tambahan pula, Petronas adalah syarikat milik Malaysia dan keuntungannya sebanyak RM26.83 bilion dimiliki oleh syarikat, bukan kerajaan. Untuk apa syarikat memiliki keuntungan bersih sebanyak itu yang terhasil dari hasil bumi rakyat? Adakah individu lebih dipentingkan berbanding rakyat? Atau Malaysia masih belum merdeka?

Oleh itu, bentuk yang paling selamat berpandukan kepada hukum Islam ialah bentuk pertama. Jika kerajaan tidak mampu melaksanakan perjanjian bentuk pertama, maka perjanjian bentuk kedua boleh menjadi alternatif kepada perjanjian bentuk pertama sekalipun konsep asasnya adalah haram menurut jumhur ulama.

Oleh itu, untuk menjamin kestabilan, kesenangan dan keadilan rakyat, maka cara yang kedua mesti dihindarkan sedaya upaya yang mungkin juseteru keharamannya dan kerugian rakyat melalui perjanjian bentuk kedua ini.

1. Jaminan Hak Orang Miskin.

Jika kita mengkaji sudut Islam secara menyeluruh, kita dapati golongan yang paling terbela dan terjamin mendapat bahagian daripada hasil minyak ini ialah golongan miskin. Dengan ini, hasilan minyak yang banyak dapat mendekatkan jurang antara miskin dan kaya seterusnya menghapuskan kemiskinan dengan jaminan sistem Islam ini.

Jaminan yang dimaksudkan ialah, ketetapan Al-Quran al-karim berkenaan agihan zakat atau bahagian Fai daripada hasil minyak. Jaminan untuk bahagian golongan miskin dapat dilihat sebagaimana berikut :

1. Jika Minyak Tidak diswastakan. 
Bertitik tolak daripada kekhilafan ulama berhubung jenis cabutan daripada hasilan bumi, maka sebahagian pendapat mengkategorikannya di dalam bahagian Ghanimah dan Fai'. Jika minyak tidak diswastakan dari sudut hak milik dan cari gali, maka sebahagian perolehan kerajaan itu dianggap sebagai Ghanimah dan fai yang dikenakan cabutan sebanyak lima peratus sebagaimana menurut Mazhab Hanafi( ). Firman Allah s.w.t : 
وَاعْلَمُوا أَنَّمَا غَنِمْتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَأَنَّ لِلَّهِ خُمُسَهُ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ
Maksudnya : Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan). – (Al-Anfal : 41).

Dan firman Allah s.w.t : 
ممَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ
Maksudnya : Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. – (Al-Hasyr : 7)

Mazhab Hanafi yang berpendapat bahawa minyak termasuk di dalam kategori Ghanimah dan Fai', sebahagian daripada kadar lima peratus ini mesti diagihkan kepada golongan yang telah ditetapkan dan termasuk di dalam ketetapan ini ialah golongan miskin.

2. Jika minyak diswastakan dari sudut cari gali.

Jika syarikat yang mengambil alih dari sudut cari gali, maka kategori perolehan tersebut samada termasuk di dalam kategori Ghanimah dan Fai' sebagaimana mazhab Hanafi atau zakat sebagaimana mazhab-mazhab lain( ). 
Jika perolehan itu adalah Ghanimah dan Fai', maka bahagian golongan miskin jelas ditentukan peratusnya oleh Allah s.w.t sebagai telah diterangkan sebelum ini.

Jika perolehan itu adalah zakat, maka bahagian golongan miskin juga ditetapkan oleh Allah s.w.t sebagaimana firmannya : 
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَاِبْنِ السَّبِيلِ
Maksudnya : Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan.- (Al-Taubah : 60)

Maka syarikat yang mendapat keuntungan daripada hasil minyak ini wajib mengeluarkan zakat kepada golongan miskin.

Daripada kedua-dua bentuk perlaksanaan di atas, kita dapati bahagian golongan miskin telah ditentukan dan dijamin oleh Allah s.w.t. Ketentuan ini tidak boleh dianggap sebagai pemberian ehsan daripada pihak pengeluar zakat tetapi mesti dianggap sebagai hak golongan miskin yang mesti ditunaikan.

Secara praktikalnya, jika jika kita mengambil pendapat yang terpilih sebagaimana di dalam tesis المعادن وحقوق الدولة والفرد فيها, kita dapati Petronas perlu mengeluarkan sebanyak 1/5 atau 10 peratus daripada hasil pendapatan bersihnya. Jika 10 peratus daripada RM26.83 bilion bersamaan RM268 juta. Jika golongan miskin mendapat 1/5 daripada jumlah RM268 juta ini sebagaimana menurut Imam Syafei, bermakna purata setiap kes mendapat RM2469 daripada 108.544 kes bantuan yang terdapat di Malaysia. Itu belum lagi dikira hak zakat orang miskin yang diperolehi hasil zakat perniagaan rakyat, hasil zakat fitrah dan lain. Jika di congak secara kasar, setiap kes yang disenaraikan di Malaysia iaitu sebanyak 108,544 kes, purata setiap satu kes akan mendapat tidak kurang dari RM8 ribu setahun. Nilai ini cukup untuk menyuntik modal pembangunan untuk keluarga si miskin. Sedangkan perlaksanaan kerajaan sekarang ini, hanya memperuntukkan sebanyak RM130.42 juta untuk orang miskin yang purata setiap kes hanya mendapat sebanyak RM1201.55 setahun.

Perbezaan peruntukan zakat menurut Islam dengan perlaksanaan kerajaan ini sangat jelas, iaitu nilai RM130.42 juta sebagai peruntukan ini bersifat ehsan kerana ia dalam bentuk kelulusan kerajaan, bukan 'agihan mesti'. Manakalan RM268 juta yang dianggap sebagai zakat menurut Islam (hasil daripada keuntungan minyak sahaja) dikategorikan sebagai hak orang miskin yang wajib diberikan oleh kerajaan, bukan peruntukan yang diluluskan nilainya.

Oleh itu, sistem Islam ini lebih bersifat menjarakkan jurang pemisah antara si kaya dan si miskin dengan anugerah hasilan bumi yang begitu banyak daripada Allah s.w.t. 
Daripada sudut-sudut di atas, jika pengurusan minyak Malaysia mengikut lunas-lunas Islam, maka kesan negatif daripada kenaikan minyak dunia tidak akan berlaku. Oleh itu, kenapa kita tidak menggunakan konsep dan sistem Islam ini di dalam negara kita?

Disunting oleh:
Kelab Media Baru
Lajnah Penerangan dan Penerbitan
Persatuan Mahasiswa Malaysia Sudan

No comments:

Post a Comment